Lelaki cabul budak di kedai serbaneka dihadapkan ke mahkamah

SEORANG  lelaki yang menerima kecaman orang ramai selepas dirakam mencabul dengan memeluk seorang kanak-kanak perempuan di sebuah serbaneka baru-baru ini akhirnya dihadapkan ke mahkamah.

Buruh binaan warga Indonesia itu yang dikenali sebagai Aris, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang, di sini hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual dengan memeluk kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di sebuah kedai serbaneka di Bandar Country Homes, Rawang, jam 6.19 petang pada 10 Julai lalu.

Dakwaan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Arunjothy tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh memandangkan dia bukan seorang warganegara.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 September ini untuk sebutan kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

BACA: Dirakam gesel alat sulit kepada budak 9 tahun, lelaki diburu polis

Dalam video berdurasi 51 saat yang tular awal bulan lalu, lelaki tersebut dilihat menghampiri kanak-kanak tersebut bersama adiknya lalu memeluk kanak-kanak tersebut dari arah belakang.

Perbuatan itu dilakukan dua kali menyebabkan mangsa yang sedang melihat barangan di kedai tersebut terkejut dan melarikan diri.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments