Tiga pelajar tingkatan 3 dituduh merogol

TIGA pelajar Tingkatan Tiga dihadapkan di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang remaja berusia 13 tahun di Pendang pada Mac dan April lalu.

Ketiga-tiga tertuduh yang masing-masing berusia 15 tahun dan bersekolah di sekolah sama membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh pertama didakwa dengan empat pertuduhan melakukan seks dengan mangsa di sebuah rumah dan kebun getah di Pendang, pada Mac dan April lalu.

Tertuduh kedua dan ketiga pula didakwa dengan satu dan dua pertuduhan yang sama seperti tertuduh pertama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 376(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fatin Dalilah Khalid, manakala tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman dan M Puveneswaran.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM6,500 pada tertuduh pertama, tertuduh kedua (RM5,000) dan tertuduh ketiga (RM6,000).

Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu mangsa serta diarahkan untuk melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 16 Oktober hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan perubatan.

Kesemua tertuduh yang diiringi keluarga dan penjaga masing-masing membayar jaminan berkenaan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments