Pemilik treler rayu penduduk pulangkan susu yang diambil

PEMILIK treler yang terbalik simpang tiga Kampung Tawang, Bachok semalam merayu kepada orang ramai supaya memulangkan semula tin-tin susu yang bertaburan dalam kemalangan tersebut.

Azizan Zainudin, 57, berkata, anaknya, Mohd Baihaqi, 25, dan pekerjanya, Syafiq, mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan menghantar bekalan 1,500 karton tin susu itu dari Klang ke gudang di Pengkalan Chepa.

Namun, anak dan pekerjanya hanya sempat mengambil 149 karton dan 11 tin susu sahaja, yang selebihnya diambil oleh orang ramai yang dipercayai ada yang menyamar sebagai ‘tauke’.

BACA: Treler terbalik, orang kampung ‘berpesta’ kutip susu tin

Akibat dari perbuatan tidak bertanggungjawab orang ramai itu, Azizan terpaksa membayar kos kerugian RM120,000.

“Kalau malu, boleh hantar ke rumah saya di Kampung Pengkalan Haji Ali atau letak semula di tempat kemalangan.

“Setakat ini, dua penduduk kampung sudah menghantar semula susu yang diambil dan saya harap yang lain segera berbuat demikian untuk memudahkan urusan saya dengan pemilik barangan itu,” katanya.

Dalam kejadian itu, treler yang membawa muatan susu terbalik pada jam 2 pagi sehingga menyebabkan ribuan stok susu bertaburan di atas jalan.

Dalam kejadian itu, pemandu dan kelindan mengalami kecederaan ringan.

Beberapa rakaman amatur memaparkan penduduk mengutip susu tersebut viral di media sosial, dipercayai melakukannya tanpa keizinan pemilik syarikat susu berkenaan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments