Pemimpin DAP bantah penggunaan tulisan khat jawi di sekolah

SERAMAI 138 pemimpin akar umbi DAP, termasuk 13 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendesak pemimpin parti itu yang ada dalam kerajaan supaya membantah pengenalan tulisan “khat” atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun 5 Bahasa Malaysia di sekolah.

Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan tersebut menarik perhatian bahawa pelajar sekolah vernakular sudah mempelajari “tiga bahasa dan tiga sistem penulisan” dan ia sudah mencukupi.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan Khamis lalu menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah.

Difahamkan, ia adalah dasar yang mahu diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu dan perancangan dimulakan sejak 2016.

Kementerian itu menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan Jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

“Kami bukan tak setuju bahawa ‘khat’ mempunyai nilai artistik, tetapi orang ramai harus digalakkan untuk menghargainya sendiri dan bukan dibuat dasar,” kata kumpulan itu.

Kumpulan itu mendakwa pengenalan tulisan “khat” merupakan usaha untuk melembagakan dan mempolitikkan tulisan Jawi.

Merujuk penggunaan tulisan Jawi di papan tanda di Kelantan dan Terengganu, kumpulan itu berkata langkah-langkah serupa sedang dilakukan di Pahang dan Melaka.

Perkembangan itu kata mereka, ditunjukkan dalam banyak cara apabila sekolah Cina dan Tamil menambah ‘khat’ dalam kurikulum, ia akan menambahkan lebih banyak masalah.

“Mereka yang mempunyai agenda mungkin merebut peluang untuk memperkenalkan Jawi di semua peringkat. Jika Jawi diinstitusikan, ia akan merosakkan fabrik sosial di Malaysia,” kata kumpulan itu.

Kumpulan itu berkata anggota kabinet DAP mesti melindungi sifat etnik Malaysia yang pelbagai dan bukan terpaksa mengikuti naratif “satu bangsa, satu bahasa dan satu kebudayaan” BN.

“Asas DAP adalah membina masyarakat yang adil, di mana pelbagai kebudayaan dirayakan. Nilai kita mesti dimanifestasikan sendirinya dalam dasar dan tidak hanya mengulangi kesilapan MCA,” kata kumpulan itu.

“Khat” akan diperkenalkan tahun depan. Menurut Timbalan Menteri Pelajaran Teo Nie Ching, dasar itu diputuskan pada tahun 2016 oleh kerajaan terdahulu.

Daripada 162 muka surat dalam buku teks Bahasa Melayu, enam halaman disediakan khusus untuk “khat”.

Seramai 13 orang Adun yang menandatangani kenyataan bersama itu ialah Chow Yu Hui (Tras), Chiong Yoke Kong (Tanah Rata), Chong Zhe Min (Keranji), Lee Chin Chen (Bilut), Tan Hong Pin (Skudai), Ee Chin Li (Tangkak), Cheo Yee How (Perling), Yeo Tung Siong (Pekan Nenas), Ng Yak Howe (Bentayan), Chew Peck Choo (Yong Peng), Cheah Pou Hian (Jelapang) dan Leong Yu Man (Triang).

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments