“Tolonglah, kami akan bayar.” pelancong curi barang hotel rayu dilepaskan

DI banyak negara, perbuatan mencuri barangan hotel dianggap jenayah serius dan boleh menyebabkan pesalah diheret ke mahkamah dan meringkuk di penjara.

Bagi mereka yang melancong, perbuatan tersebut boleh menukar kegembiraan berlibur menjadi malapetaka.

Kejadian di Bali, Indonesia ini menceritakan bagaimana percutian sebuah keluarga bertukar menjadi bencana apabila mereka kantoi mencuri barangan di sebuah hotel.

Berdasarkan klip video yang viral di Twitter, keluarga berkenaan baru saja mendaftar keluar dari hotel tersebut dan perlu ke lapangan terbang.

Video rakaman kejadian itu menunjukkan keluarga terbabit terpaksa merayu dilepaskan kerana sedang bergegas ke lapangan terbang untuk pulang ke negara asal.

“I will pay, sorry,” kata seorang lelaki dipercayai ketua keluarga berkenaan namun tidak diendahkan petugas hotel yang memeriksa bagasi mereka.

Difahamkan, petugas hotel mendapati barangan dalam bilik hotel yang disewakan hilang, lalu segera bertindak menghalang keluarga itu dari meninggalkan kawasan hotel.

Ketika mahu diperiksa, pasangan suami isteri itu dikatakan bertindak agresif dan memaki hamun pekerja hotel.

Setelah diperiksa, ternyata mereka mengambil barang-barang hotel seperti pengering rambut, pasu hiasan, botol seramik dan banyak lagi.

Suami isteri itu merayu agar mereka tidak dikenakan tindakan dan akan membayar semua barangan yang diambil itu dengan alasan mereka sudah terlambat untuk pergi ke lapangan terbang.

Bagaimanapun, petugas hotel berkenaan dilihat enggan melayan rayuan mereka sambil menggeledah semua bagasi keluarga itu dan menemui banyak lagi barangan yang lain.

Ekoran penemuan itu, pihak hotel mahu membuat laporan polis tetapi pasangan itu merayu agar tidak membabitkan polis dalam hal itu dan mereka sanggup membayar berapa kos yang dikenakan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments