Kes pukul tunang kerana isu hubungan songsang, Syafie enggan komen

PELAKON Syafie Naswip enggan memberi sebarang komen selepas dia dikaitkan dengan insiden seorang artis membelasah bekas tunangnya kerana ditegur mempunyai hubungan songsang dengan kenalannya.

Ditanya mengenai dakwaan tersebut, Syafie melalui satu kiriman di aplikasi Whatsapp sekadar menjawab: “Maaf. Kalau ada apa-apa rujuk kepada pengurus.”

Pengurus pelakon itu, Badrul Hashim yang dihubungi bagaimanapun berkata: “Tidak ada apa-apa yang perlu diperkatakan setakat ini.”

Media semelam melaporkan seorang pelakon lelaki ditahan selepas membelasah bekas tunangnya berikutan berang apabila wanita itu memintanya memutuskan hubungan songsang dengan kenalannya pada 26 Jun lalu.

Pelakon itu bagaimanapun dilepaskan kemudian dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan dipetik sebagai berkata, pelakon lelaki berusia 27 tahun itu dikatakan datang ke rumah bekas tunangnya berusia 23 tahun di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Serdang, kira-kira 9 pagi hari kejadian.

“Bekas tunangnya yang juga pelakon mendakwa dipaksa masuk ke dalam kereta sebelum suspek terus memaki wanita berkenaan menggunakan kata-kata kesat.

“Difahamkan pergaduhan itu berpunca daripada tindakan wanita berkenaan yang meminta suspek untuk tidak meneruskan hubungan songsang dengan kenalannya,” katanya.

Kejadian itu dikatakan menjadi punca kedua-dua artis berkenaan mengambil keputusan memutuskan ikatan pertunangan.

Ismadi berkata, suspek yang bengang dengan permintaan wanita itu kemudian bertindak mencekik leher, menumbuk muka, mencengkam mata serta menumbuk mulut mangsa sehingga berdarah.

Beliau berkata, suspek ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk diambil keterangan, malam tadi.

“Hasil soal siasat dilakukan, suspek mengaku memukul mangsa. Bagaimanapun, suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil.

“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan melakukan ugutan,” katanya.

Sementara itu, bekas tunang Syafie, Aishah Azman yang dihubungi enggan mengulas mengenai kejadian tersebut.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments