Yakin hadiah GV4 miliknya juga palsu, Firman mahu tuntut berlian asli

    SELEPAS penyanyi Aishah berjaya dalam tuntutannya terhadap usahawan kostmetik, Datuk Seri Vida, seorang lagi pemenang program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) ingin membuat perkara sama kerana yakin hadiah berlian yang diterimanya juga palsu.

    Firman Siagian, 40, yang juga artis Indonesia mendakwa subang berlian yang diberikan usahawan terkenal, Datuk Seri Vida adalah palsu.

    Katanya, barang kemas yang didakwa bernilai RM30,000 itu adalah hadiah selaku pemenang tempat kelima GV4 2017.

    Menurut Firman, dia mulai meragui ketulenan barangan kemas itu selepas menonton berita mengenai tuntutan dibuat juara program itu, Aishah tahun lalu.

    “Sekitar Mac tahun lalu, saya ajak isteri ke pusat beli-belah di Bandung. Kebetulan ternampak kedai emas dan tergerak hati untuk pergi bertanya nilai barangan itu jika ingin dijual.

    “Apabila saya menunjukkan subang itu, perkara pertama ditanya pekerja kedai emas adalah sijil subang berlian itu.

    “Saya beritahu tak ada sebab ia adalah hadiah daripada pertandingan nyanyian. Disebabkan itu, mereka tidak boleh periksa,” katanya dipetik Harian Metro.

    Namun katanya, dia tetap bertanya sama ada ia tulen atau tidak dan mereka menjawab tidak boleh dipastikan selagi tidak melihat sijil menyebabkan mereka berfikiran positif saja.

    “Hinggalah saya tertengok berita di YouTube mengenai dakwaan dibuat Aishah pada Ogos 2018, saya terus tak sedap hati. Saya tanya pada isteri, adakah subang berlian kita juga palsu?,” katanya.

    Menurut Firman yang popular menerusi lagu Kehilangan, hatinya kuat mengatakan subang berlian itu adalah palsu selepas mendapat tahu Aishah berjaya mendapat ganti rugi daripada tuntutan dibuat.

    “Semalam, saya menonton di YouTube yang mana Aishah dapat ganti rugi. Itu menguatkan lagi keyakinan saya mengatakan subang berlian yang diberikan pada saya juga palsu.

    “Saya terus menghantar mesej WhatsApp kepada Vida bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara ini, namun tidak berbalas. Tapi, saya takkan berhenti dan tetap akan berjuang seperti mana dilakukan Aishah.

    “Saya juga merancang untuk pergi periksa sekali lagi. Sekiranya, betul palsu, saya akan membuat tuntutan, sebab ia adalah hak kita,” katanya.

    Terdahulu, penyanyi Janji Manismu itu berjaya mendapatkan tuntutan dibuat menerusi sesi mediasi kedua belah pihak pada 1 Julai lalu.

    Aishah berjaya menuntut ganti rugi barangan kemas bernilai RM80,000 iaitu sama nilai dengan hadiah yang diberikan pada malam final program itu.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments