‘Saya tidak fikir wang RM19.4 GST dicuri..tak mungkin’

KETUA Setiausaha Perbendaharaan, Ahmad Badri Mohd Zahir memberitahu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bahawa beliau tidak percaya wang bernilai RM19.4 bilion yang dikutip daripada cukai barangan dan perhidmatan (GST) telah dicuri.

Ketika ditanya apakah yang mungkin mendorong Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa wang itu dicuri, Ahmad Badri berkata beliau “tidak pasti” namun tidak menolak kemungkinan ia berpunca keinginannya untuk mengetahui pulangan yang diterima kerajaan.

Ahmad Badri berkata, berdasarkan pendapat peribadinya, wang tersebut masih ada di tempat yang sepatutnya.

“Saya tidak fikir ia dicuri.

“Tidak mungkin… pada ketika ini wang itu tiba-tiba dicuri, disalahgunakan atau apa saja.

“Cuma mungkin, seperti yang saya katakan, ialah (bagaimana) kita menguruskan aliran tunai. Saya tak fikir (duit itu) hilang di mana-mana, walaupun satu sen,” katanya.

Ahmad Badri berkata demikian semasa memberi keterangan kepada PAC pada 16 Okt 2018 sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen Subang, Wong Chen, sama ada beliau percaya dana sebanyak RM19.4 bilion itu dicuri atau disalah guna.

Sebelum ini, Guan Eng mendakwa di parlimen bahawa sebanyak RM19.47 bilion daripada kutipan GST yang sepatutnya dipulangkan telaj “dirompak” kerajaan terdahulu.

“Disebabkan ia diambil sebagai pendapatan, ia telah digunakan oleh kerajaan sebelum ini,” katanya di Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Badri yang dilantik sebagai ketua setiausaha perbendaharaan Sept tahun lalu berkata, pendapatan kasar daripada GST sepatutnya diletakkan dalam akaun yang disatukan terlebih dulu.

Wang itu katanya, kemudiannya akan dipulangkan kepada peniaga melalui tabung amanah.

Oleh itu, katanya, apa yang tersisa dalam dana yang disatukan itu akan menjadi hasil bersih daripada GST.

Apabila ditanya apa asas yang membuat Guan Eng mengeluarkan kenyataan tersebut, Ahmad Badri berkata, ia mungkin disebabkan menteri terbabit melihat kepada jumlah pulangan yang sepatutnya dibayar kerajaan.

“Saya tak pasti, mungkin beliau melihat kepada pulangan yang sepatutnya dibayar.

“Hal ini kerana menteri kewangan seorang yang aktif, kerana sebagai akauntan, dia suka untuk melihat,” katanya.

Beliau juga berkata, ada pendapatan mencukupi daripada kutipan GST untuk membayar RM19.4 bilion yang terlewat dipulangkan itu.

Namun Ahmad Badri menjelaskan dana RM19.4 bilion perlu diaudit sebelum Kementerian Kewangan mengambil sebarang tindakan memulakan proses pemulangan.

Laporan PAC mengenai kelewatan bayaran balik RM19.4 bilion daripada kutipan GST itu dibentang di parlimen hari ini.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments