Wanita maut MPV jatuh jambatan, bayi 5 bulan cedera

SEORANG wanita maut manakala tiga anaknya termasuk bayi berusia lima bulan cedera apabila kenderaan dinaiki terbabas lalu jatuh dari jambatan di Kilometer (KM) 155 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Bukit Gambir, Tangkak, Johor hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.50 pagi itu, wanita berusia 34 tahun itu bersama semua anaknya menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dipercayai dalam perjalanan dari Skudai, Johor Bahru ke Bukit Beruang, Melaka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Idris Abdul Rahman berkata, apabila tiba di KM154.7 kenderaan dinaiki mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke arah kiri jalan.

“Akibatnya, Perodua Alza yang dinaiki mangsa melanggar penghadang jalan dan terjatuh dari jambatan di kawasan itu,” katanya dipetik dalam laporan Harian Metro.

Idris berkata, kejadian itu menyebabkan pemandu kenderaan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga anaknya dalam kenderaan itu cedera.

“Tiga anak mangsa, iaitu bayi berusia lima bulan serta anak yang berusia enam dan 15 tahun berada hanya mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan itu.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HPSF untuk dibedah siasat sebelum dituntut bapa mangsa untuk urusan selanjutnya.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di jalan lurus dua lorong, keadaan cuaca baik dan hanya membabitkan sebuah kenderaan sahaja.

“Bagaimanapun, kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments