Saya tidak pernah kata Dr Mahathir korup – Kit Siang

LIM Kit Siang bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu forum 'Selamatkan Malaysia' sebelum ini. Gambar: NST

PENASIHAT DAP, Lim Kit Siang berkata, sepanjang usia penglibatannya dalam politik, beliau tidak pernah menuduh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang korup.

Dalam satu temubual dengan New Straits Time (NST), Kit Siang berkata, beliau hanya pernah menegur kepimpinan Dr Mahathir dari aspek urus tadbir sahaja.

“Saya tidak pernah mengatakan bahawa dia seorang yang korup, anda boleh meneliti semua kenyataan saya, tetapi saya tidak pernah mengatakan bahawa Dr Mahathir seorang yang korup,” kata Kit Siang dalam temubual tersebut.

Kit Siang pernah menjadi seteru paling hebat kepada Dr Mahathir dan pernah beberapa kali mendesak siasatan salah guna kuasa termasuk meminta ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal Forex, Perwaja dan MAS.

Bagaimanapun, kedua-duanya bekerjasama dalam satu pakatan disertai PPBM, PKR dan DAP yang akhirnya menumbangkan pentadbiran sembilan tahun Barisan Nasional (BN) dibawah Datuk Seri Najib Razak.

Ditanya sama ada beliau akan terus menggesa siasatan yang sebelum ini dibangkitkannya semasa tempoh pertama Mahathir sebagai perdana menteri (1981 hingga 2003), Kit Siang menegaskan bahawa pembinaan Malaysia baru adalah lebih utama ketika ini.

“Saya fikir mari kita berurusan dengan pembinaan Malaysia yang baru. Saya tidak akan menarik balik satu perkataan yang saya katakan sebelumnya.

“Tapi dalam keadaan sekarang, anda perlu membina sebuah negara baru di Malaysia yang mempunyai kebebasan, demokrasi, keadilan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Kit Siang turut berkongsi kisah ketika hari-hari awal kerjasama beliau dengan Dr Mahathir apabila kedua-duanya berasa janggal walaupun untuk duduk bersama.

“Suatu ketika sebelum pilihan raya Mahathir memberitahu saya: ‘Duduk dengan kamu di khalayak ramai, saya akan kehilangan banyak undi Melayu’.

“Dan saya memberitahu Mahathir: ‘Ya, saya pula akan kehilangan banyak undi bukan Melayu.

“Tetapi kita perlu bekerjasama,” kata Kit Siang.

Ditanya sama ada Mahathir memerlukan lebih banyak masa sebagai perdana menteri sebelum menyerahkan jawatan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Kit Siang berkata, beliau yakin Mahathir akan menunaikan janjinya menyerahkan jawatan.

Mengulas mengenai dakwaan Abdul Hadi Awang yang sering mengaitkan DAP dengan agenda sosialisas dan komunis, Kit Siang berkata, presiden PAS itu hanya memomokkan partinya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments