Polis tahan beberapa individu terlibat bikin, sebar video seks menteri

KETUA Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan beberapa individu termasuk ahli parti politik, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan kerana disyaki terlibat dalam pembikinan dan penyebaran video seks dikaitkan dengan seorang menteri.

Abdul Hamid dipetik Bernama sebagai berkata, wujud konspirasi dan pakatan tertentu yang membawa kepada pembikinan serta penyebaran video berkenaan.

Katanya, polis masih menunggu hasil ujian makmal untuk mengesahkan kesahihan video berkenaan.

Ia dipercayai merujuk kepada video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Abdul Hamid juga dilaporkan berkata kes tersebut sudah beberapa kali dihantar kepada pihak pejabat pendakwaraya, namun dihantar semula kepada polis untuk siasatan lanjut.

Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui dirinya terlibat dalam hubungan seks sejenis mendakwa pasangannya ialah Mohamed Azmin selepas satu rakaman video menjadi tular.

Haziq mendakwa rakaman itu dibuat tanpa keizinannya di sebuah bilik hotel di Sandakan ketika berlangsungnya pilihan raya kecil Sandakan.

Azmin bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut, menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Pertubuhan media Australia, SBS News, memetik pakar forensik digital, Kevin Nguyen bahawa video berkenaan tidak disunting, malah tidak ada sebarang pengubahan digital telah dibuat ke atasnya.

Sementara itu, The Star pula melaporkan Abdul Hamid berkata pihak polis masih sedang menyiapkan siasatan mengenai kes seks video ini.

“Kami masih menunggu hasil ujian makmal bagi menentukan kesahihan video tersebut.

“Kami telah menghantar kertas siasatan kepada timbalan pendakwaraya sebanyak dua kali. Setiap kali, ia dihantar balik untuk siasatan lajut, terbaru pada Khamis,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Rumah Kediaman Blok Melati di Keramat Wangsa Kuala Lumpur malam tadi.

Abdul Hamid dipetik The Star juga berkata daripada beberapa tangkapan yang dibuat pihak polis, beberapa individu yang ditahan telah dilepaskan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments