Perkosa anak sendiri hingga hamil, tembelang bapa akhirnya terbongkar

xzxz

SEORANG bapa sepatutnya menjadi pelindung, namun seorang lelaki memusnahkan masa depan anaknya sendiri apabila memperkosa darah daging sendiri di rumah mereka sehingga remaja berusia 16 tahun itu disahkan hamil tujuh minggu.

Lelaki berusia 50-an itu melakukan perbuatan terkutuk itu di rumah mereka di sebuah kampung di Kuala Terengganu sejak mangsa berusia 12 tahun iaitu selepas setahun isterinya meninggal dunia.

Perbuatan lelaki itu terbongkar ketika mangsa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kira-kira jam 9.30 malam selepas muntah-muntah dan mengadu sakit pada bahagian perut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, mangsa ditemani ibu saudaranya datang ke Bahagian Trauma dan Kecemasan HSNZ sebelum memaklumkan bahawa dirinya dirogol bapa sendiri.

“Mangsa beritahu doktor bertugas dia dirogol bapa kandungnya dua bulan lepas di rumah mereka sebelum laporan polis di buat untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut dijalankan,” katanya.

Razmi memberitahu, mangsa mendakwa dirogol kali pertama pada usia 12 tahun dan kejadian itu kerap kali berlaku selepas ibu kandungnya meninggal dunia ketika dia berusia 11 tahun.

“Kini mangsa tinggal bersama suspek dan ibu tirinya serta adik-beradik yang lain. Mangsa mendakwa sudah berhenti sekolah sejak April lalu kerana faktor kewangan suspek yang tidak bekerja.

“Dia turut mendakwa tidak menceritakan dan memberitahu kepada ahli keluarga lain tentang perbuatan suspek kerana sentiasa diugut ayahnya itu,” katanya.

Razmi berkata, suspek diburu selepas dipercayai melarikan diri sejurus mengetahui perbuatannya terbongkar dan itu akan disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments