Muhammad Iskandar sudah tiada..

PELAJAR cemerlang, Muhammad Iskandar Izani yang menderita sakit akibat kanser otak dilaporkan sudah meninggal dunia petang tadi.

Berita sedih itu dimaklumkan kawan baik allahyarham yang dikenali sebagai Naayli melalui laman Twitter sebentar tadi.

NMP sebelum ini melaporkan mengenai derita Muhammad Iskandar Izani yang sebelum ini menjadi kebanggaan keluarga selepas menjadi pelajar cemerlang dengan memperoleh keputusan 7A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Muhammad Iskandar hanya mampu terlantar di atas katil selepas disahkan menghidap kanser otak tahap empat.

Sejak itu, segala-galanya berubah. Daripada seorang yang cergas, anak muda itu semakin hilang berat badan, malah muka kian cekung dan tidak bermaya.

Muhammad Iskandar Izani baru sahaja menjalani rawatan kimoterapi yang pertama di Hospital Kuala Lumpur.

Memandangkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar itu menetap di Kuantan, difahamkan keluarga Iskandar memerlukan bantuan pembiayaan kos rawatan dan ulang alik ke hospital.

Kisah remaja itu mendapat simpati dan keprihatianan ramai yang rata-rata mendoakan agar Iskandar diberi kesembuhan dan terus kuat serta tabah menghadapi ujian tersebut.

Berita kematiannya disambut rasa hiba keluarga dan rakan-rakan rapat Allahyarham.

 

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments