‘Kalau berani, buanglah saya’, kata Nazri kepada UMNO

AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencabar UMNO memecat beliau jika tidak senang dengan tindakannya mengkritik pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

Namun beliau mengingatkan jika beliau dipecat, ia akan mengulangi peristiwa hitam dalam parti ekoran pemecatan beberapa pemimpinan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seperti Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya tak gentar. Kalau nak nak buang, buanglah. Saya tak pernah serang presiden pun. Kalau berani buanglah saya, saya cabar namun tinggalkan UMNO ‘no way’.

“Kalau nak hukum saya dan KJ (Khairy Jamaluddin) kerana kami sayangkan parti, hukumlah, nak tengok jadi macam dulu apabila buang Shafie, buang Muhyiddin, kita ingat mereka tiada pengaruh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas di Kem PLKN Kota Lama, Sauk di sini hari ini.

Mesyuarat dirasmikan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Nazri dan Khairy masing-masing sebelum ini dilihat tidak senang dengan pelantikan Najib sebagai pengerusi penasihat BN.

Khairy mengakui bahawa dia tidak gembira dengan pelantikan Najib, sementara Nazri menyifatkan ia sebagai langkah ke belakang.

BN pada 9 Jul lalu, mengumumkan pelantikan Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat BN.

Bagaimanapun, Nazri dan Khairy dalam sidang media itu menegaskan yang mereka tidak akan sama sekali meninggalkan parti itu.

Mohamed Nazri menegaskan, walau apa pun yang berlaku terhadapnya beliau akan terus mengulangi pendiriannya tidak bersetuju dengan pelantikan Najib.

Sementara itu, Najib dalam reaksinya berikutan kenyataan Nazri itu berkata, beliau tidak menjadikan pelantikan tersebut sebagai loncatan untuk kembali menjadi perdana menteri.

Sebaliknya, kata Najib, beliau menerima pelantikan itu atas keinginan untuk membantu membina semula UMNO dan menguatkan Barisan Nasional.

Sehubungan itu, ujar beliau, keutamaan setiap ahli parti ketika ini sepatutnya adalah bagaimana untuk bersama-sama mengukuhkan BN dan parti komponennya.

“Sesiapa sahaja yang boleh memberi sumbangan dan nilai tambah kepada BN adalah dialu-alukan kerana inilah semangat yang harus kita ada.

“Daripada kita mengkritik antara satu sama lain, lebih baik kita cari jalan bagaimana untuk kita dapat bekerjasama ke arah mengukuhkan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis bertemu penduduk Santai Petang Bersama Bossku di Dataran Sembilang, Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments