Dulu pelajar cemerlang 7A, kini terlantar melawan kanser

TAHUN lalu dia menjadi kebanggaan keluarga selepas menjadi pelajar cemerlang dengan memperoleh keputusan 7A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Seorang yang rajin dan disenangi ibu bapa, Muhammad Iskandar Izani, 16, seperti remaja lain melayari usia remajanya dengan aktif dalam aktiviti rekreasi.

Namun, tiada siapa menduga, Muhammad Iskandar Izani kini hanya mampu terlantar di atas katil selepas disahkan menghidap kanser otak tahap empat.

Sejak itu, segala-galanya berubah. Daripada seorang yang cergas, anak muda itu semakin hilang berat badan, malah muka kian cekung dan tidak bermaya.

Muhammad Iskandar Izani baru sahaja menjalani rawatan kimoterapi yang pertama di Hospital Kuala Lumpur.

Kisah derita Pahang itu dikongsikan Persatuan Sokongan Anak-Anak Kanser yang melawat Muhammad Iskandar Izani baru-baru ini.

Memandangkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar itu menetap di Kuantan, difahamkan keluarga Iskandar memerlukan bantuan pembiayaan kos rawatan dan ulang alik ke hospital.

“Iskandar terbaring tidur di atas katil hospital yang disewa dari sebuah farmasi ketika kami menziarahinya.

“Feeding tube sudah dipasang masuk melalui hidungnya, menandakan dia tidak boleh makan secara biasa,” tulis posting di laman Facebook Persatuan Sokongan Anak-Anak Kanser.

Kisah remaja itu mendapat simpati dan keprihatianan ramai yang rata-rata mendoakan agar Iskandar diberi kesembuhan dan terus kuat serta tabah menghadapi ujian tersebut.

Seorang rakannya juga menyeru mereka yang berkemampuan untuk menderma bagi meringankan beban keluarga anak muda itu.

BACA: Muhammad Iskandar sudah tiada..

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments