Perak cadang kenakan caj masuk hutan lipur, lantik operator yang sesuai

JABATAN Perhutanan Perak bercadang untuk melantik operator yang sesuai untuk mengambil alih dan menguruskan 14 hutan lipur di negeri itu dengan mengenakan caj masuk kepada pengunjung tidak lama lagi.

Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, pelaksanaannya bagaimanapun akan dilakukan secara berperingkat.

“Semuanya akan dibuat secara berperingkat dan kita menyasarkan kesemua 14 hutan lipur akan dapat dikenakan bayaran masuk dalam tempoh dua tahun ini.

“Kita meletakkan bayaran caj masuk dalam kadar paling minimum untuk tujuan penyelenggaraan iaitu hanya RM2, selain itu kita juga mengenakan bayaran sekiranya hendak menggunakan dewan dalam kadar RM400,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ‘Jungle Park In Town Siri 2’ di perkarangan Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Meru Raya di Ipoh, hari ini.

Mohamed Zin berkata, pihaknya akan mengemukakan kertas kerja mengenai cadangan itu kepada kerajaan negeri dan akan melantik operator yang berkelayakan untuk mengambil alih pengurusan hutan lipur di Perak.

“Kita juga boleh bekerjasama dengan operator yang ingin memajukan hutan lipur berkenaan, yang mana ini bermakna mereka mengambil alih mana-mana hutan lipur di negeri ini.

“Namun begitu, kita hendak mencari operator yang benar-benar berkemampuan dalam bidang ini kerana ia juga memerlukan kos yang agak tinggi serta kita tidak mahu operator hanya sekadar melaksanakan apa kemudahan yang ada dan apabila kemudahan itu sudah uzur dan sebagainya mereka tidak mahu menyambungnya dan melepaskan semula kepada kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, 900 anak pokok akan dijual sebagai pokok angkat bagi peringkat permulaan projek Perak Oxygen Land Bank.

“Pada tahun ini, projek ini akan dijalankan di petak kajian di Hutan Simpan Chikus yang mana kita mempunyai kira-kira 900 pokok antaranya Meranti, Tembaga, Cengal.

“Setiap anak pokok akan dijual untuk pemuliharaan bagi penjagaan tempoh setahun atau lima tahun dengan kadar bayaran antara RM2,000 hingga RM5,000 mengikut saiz pokok,” katanya.

Katanya, projek kini berada di fasa akhir bagi proses pemetaan sebelum projek dijangka dilancarkan pada hujung tahun ini.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments