Tarif gas asli naik lagi, kuatkuasa mulai Isnin ini

GAS Malaysia Bhd hari ini mengumumkan semakan semula semula tarif gas asli bagi sektor bukan tenaga di Semenanjung Malaysia bagi tempoh dari 15 Julai 2019 hingga 31 Disember 2019.

Pengedar gas asli itu berkata, semakan semula tarif berkenaan diluluskan oleh kerajaan melalui surat yang diterima daripada Suruhanjaya Tenaga, hari ini.

Di bawah rangka kerja peraturan berasaskan insentif (IBR), yang menetapkan tarif asas untuk tempoh pengawalseliaan selama tiga tahun bermula Januari 2017, perubahan dalam kos gas yang akan melalui mekanisme Kos Gas Untuk Dilepaskan (GCPT) akan dibenarkan setiap enam bulan.

Ini adalah kenaikan kali kedua selepas kali terakhir Gas Malaysia membuat semakan tarif pada Jun 2018.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, Gas Malaysia berkata purata tarif asas gas asli ditetapkan pada RM32.74 per satu juta unit termal British (MMBtu) mulai 15 Julai hingga 31 Disember 2019.

“Di bawah mekanisme GCPT, bayaran tambahan sebanyak RM1.92 per MMBtu akan dikenakan ke atas semua kategori tarif.

“Ini bermakna tarif efektif purata pada RM34.66 per MMBtu, kenaikan sebanyak 5.3 peratus daripada tarif efektif purata selepas surcaj,” kata Gas Malaysia dalam kenyataan.

Pada masa ini, purata tarif asas ditetapkan pada RM32.69 per MMBtu.

Gas Malaysia berkata, walaupun semakan semula tarif itu tidak memberi impak yang ketara kepada operasi perniagaannya, ia dijangka menyumbang secara positif kepada kedudukan kewangannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Berikut adalah tarif efektif yang disemak semula selepas GCPT berdasarkan penggunaan tahunan:

  • Pengguna kediaman akan membayar RM25.44 per MMBtu.
  • Pelanggan bukan kediaman yang menggunakan sehingga 600 MMBtu setahun akan membayar kadar tarif sebanyak RM32.32 per MMBtu.
  • Penggunaan antara 601-5,000 MMBtu: RM32.48 per MMBtu.
  • Penggunaan antara 5,001-50,000 MMBtu: RM32.78 per MMBtu.
  • Penggunaan antara 50,001-200,000 MMBtu: RM34.12 per MMBtu
  • Penggunaan antara 200,001-750,000 MMBtu: RM34.12 per MMBtu.
  • Penggunaan melebihi 750,000 MMBtu: RM35.20 per MMBtu.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments