Husam pelawa PAS sertai PH, bersama kuburkan UMNO

NAIB Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa hari ini mempelawa PAS untuk mempertimbangkan tawaran menyertai Pakatan Harapan (PH) supaya dapat menjadi kerajaan.

Husam berkata, ini adalah masa terbaik untuk PAS dan pemimpinnya berfikir jika tidak mahu perjuangan mereka selama lebih 60 tahun untuk menumbangkan kerajaan UMNO sia-sia.

Bagaimanapun katanya, PAS perlu telebih dahulu “dimandikan dengan beberapa wangian dan mandian” supaya sesuai dengan politik yang dibawa PH.

Menurutnya, jika PAS menyertai PH sekarang, mereka boleh menjadi kerajaan dan pada pilihan raya akan datang masih boleh jadi kerajaan sekali lagi.

“Katakan sentimen DAP banyak kerusi, tapi kalau PAS masuk PH bermakna kerusi DAP akan jadi lebih seimbang.

“Sekarang PAS ada 18 kerusi, campur dengan PAN 11 kerusi daripada parti asal, sekarang ada 29 kerusi.

“Bahkan kalau PAS kekal dalam PH sebelum PRU sebelum ini, mungkin kita boleh menang 40 kerusi,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Husam berkata, dalam senario PAS kini menjalin kerjasama (taawun) dengan UMNO, landskap politik negara pasti berubah jika parti itu memilih menyertai PH.

Malah kata Husam, sebahagian kerusi yang sebelum ini dimiliki UMNO juga pasti akan dimenangi oleh PAS jika parti itu bersama-sama dengan PH.

Katanya, UMNO boleh ditelan oleh zaman dan tiada masalah juga sekiranya UMNO ditelan oleh sejarah.

“Satu kebangkitan baharu dapat disusun… tidak semestinya dengan nama UMNO itu kekal sampai kiamat. Apabila dunia berubah, politik tsunami telah berlaku, tidak semestinya kita kekal dengan jenama asal.

“Kita boleh ‘restructure’ dan susun semula… Itu peluang PAS untuk ke depan pada masa akan datang, pada pendapat saya.

“Tetapi oleh kerana kita mengutamakan sentimen, kita tengok dalam ceramah-ceramah pemimpin di kedua-dua belah pihak PAS dan UMNO, walaupun ada kebenaran tapi lebih kepada sentimen,” katanya.

Beliau berkata, PAS juga perlu keluar dari politik sentimen dan emosi serta perlu berfikir secara waras untuk Malaysia pada masa akan datang.

“Tapi… kalau panggil PAS sudah tentu kena mandikan PAS dengan beberapa wangian dan mandian yang sesuai dengan politik PH,” katanya.

Husam turut mempersoalkan sama ada Pas tidak berasa perjuangan parti itu menumbangkan UMNO-BN sebelum ini menjadi sia-sia.

“Kenapa Pas tidak fikir begitu sebelum PRU14 dan kenapa bila sudah tumbang, sudah mati, baharu Pas mahu tambah vitamin bagi hidup? Kenapa sewaktu UMNO ‘hidup’, mahu suntik racun supaya ‘mati’?

“Saya percaya, tawaran ini bagi orang Pas akan dianggap sebagai satu tanda lemah tetapi dalam sejarah negara-negara lain, apabila sesuatu negara berada dalam keadaan yang mungkin jatuh dalam jurang yang lebih bahaya, maka konsolidasi penyatuan semula negara adalah perlu.

“Lebih-lebih lagi apa yang kita hadapi kesan daripada apa yang dipanggil korupsi yang menyeluruh dari minda kepada aksi dan kepada jentera-jentera serta pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin-pemimpin politik yang sesat dalam keghairahan mengaut kekayaan daripada kuasa mereka.

“Jadi kita nak keluar dari situasi buruk ini tentu memerlukan kerjasama dari semua pihak agar negara dapat dibina atas satu asas yang baru dan peranan semua pihak perlu disatukan,” katanya.

 

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments