Tuduhan Guan Eng BN curi dana GST tidak benar, menurut siasatan PAC

SIASATAN Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa pentadbiran BN sebelum ini “merompak” dana untuk bayaran balik GST sebagai tidak benar.

Sebaliknya, PAC mendapati pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini hanya membuat anggaran berlebihan (overestimate) untuk hasil yang akan diterima daripada GST, dan pada masa sama membuat anggaran rendah (underestimate) berkenaan jumlah yang diperlukan untuk bayaran balik.

Mengikut laporan Malaysiakini yang memetik sumber PAC, tiada petunjuk atau sebarang bukti kerajaan BN ‘mencuri’ atau mengambil dana dalam akaun disatukan untuk bayaran balik tersebut.

Laporan PAC berhubung siasatan berkenaan akan dibentang kepada umum minggu depan.

Siasatan dimulakan September lalu selepas Guan Eng memberitahu Dewan Rakyat bahawa RM19.4 bilion dana bayaran balik GST diseleweng pentadbiran BN.

Ia menyebabkan tunggakan yang perlu dibayar kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menteri kewangan terdahulu Najib Razak menafikan dakwaan itu, dan berkata wang itu diletakkan dalam akaun disatukan kerajaan, dan kepada tabung amanah bertujuan membuat pembayaran semula secara berkala.

Terdahulu PAC dijangka menyelesaikan siasatannya pada akhir 2018 dan membentangkan laporan ketika Parlimen bersidang pada Mac.

Namun pada Mac lalu, jawatankuasa itu masih lagi dalam proses mengesahkan dokumen dengan Jabatan Audit Negara, dan memanggil bekas Ketua Pengarah Jabatan Kastam T Subromaniam.

Menurut laporan The Malaysian Insight yang memetik sumber, penangguhan itu antaranya disebabkan percanggahan antara anggota jawatankuasa berkenaan syor yang perlu dibuat.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments