Ini 6 status Facebook Wan Ji yang mengheretnya ke penjara

BERAT sangat ke kesalahan Wan Ji Wan Husin sampai dihukum penjara?

Itu mungkin antara soalan yang diajukan ketika hukuman penjara setahun ke atas ahli dan aktivis PKR, Wan Ji Wan Hussin menjadi polemik politik kebelakangan ini.

Untuk rekod, pada April tahun lalu, Wan Ji dijatuhi hukuman penjara 9 bulan oleh Mahkamah Sesyen kerana menerbitkan penerbitan menghasut bagi menghina Sultan Selangor melalui laman sosial Facebook, 6 tahun lepas.

Hakim Mohd Sabri Ismail memerintahkan Wan Ji Wan Hussin, 35, menjalani hukuman itu selepas dia didapati bersalah menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam laman sosial Facebook dengan nama wanji.attaaduddi.

Wan Ji kemudiannya membuat rayuan namun Mahkamah Tinggi Shah Alam dua hari lalu mengekalkan terhadap sabitan malah menambah hukuman penjara dari sembilan bulan kepada setahun ke atas pemimpin PKR itu.

BACA: Hina Sultan: Wan Ji dipenjara, hukuman ditambah ke setahun

Ekoran itu, beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) dari DAP dan PKR termasuk Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan mendesak kerajaan segera memansuhkan Akta Hasutan.

Namun, ada juga yang melihat hukuman tersebut mempunyai asas yang jelas memandangkan kenyataan bekas penasihat kepada Lim Guan Eng terlalu keras dan bersifat menghasut rakyat untuk memusuhi institusi raja.


ANTARA poster yang berlegar di Facebook selepas beberapa pemimpin PH mempersoalkan keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas aktivis PKR, Wan Ji Wan Husin. Sumber FB

Berdasarkan fakta kes, berikut adalah enam status atau hantaran di Facebook yang menyebabkan Wan Ji dihadapkan ke mahkamah seterusnya dijatuhi hukuman penjara.

1) “Jenis syaitan tak baca hadis nabi kata ‘sesungguhnya org yg ada hak, kena bg ruang bersuara’. Bahana bodoh agama tp nak jadi ketua agama..

Sultan Selangor Sultan Shrafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) supaya tidak terpengaruh dengan tuntutan
kebebasan bersuara yang diperjuangkan segolongan pihak yang hanya mementingkan ideologi politik.”

2) “Sultan sel tu tak payah nak ingatkan student UPM..Dia sendiri tu kena pg ngaji agama lagi…Kena ajar sultan sel, arak tu haram. Ketua agama tak layak ada hard rock café…Perasan bagus, tp bodoh agama..”

3)“Buang je sultan2 ni…Perabis duit rakyat…”

4) “Sultan sel mengadakan kempen projek pembodohan di Universiti…Masuk Universiti untuk jadi bijak, si syaitan ni buat projek pembodohan.. Bila org bodoh, dia akan berkuasa…Firaun moden.”

5) “Nak kaya dlm keadaaan bodoh adalah jadi sultan.”

6) “Quran kata, ‘(firaun) merendah-rendahkan (akal) mereka (rakyat mesir), lalu mereka taat kepadanya’ itu di mesir. Kalau di malaysia, yg buat kerja ni adalah UMNO dan Sultan..”

Ketika memberikan pembelaan secara bersumpah di hadapan hakim, Wan Ji menafikan akaun FB bernama ‘Wan Ji At-ta’aduddi’ merupakan miliknya.

Beliau mengatakan sesiapa pun boleh memalsukannya.

Wan Ji turut menyatakan beliau hanya mengetahui nama ‘Wan Ji At-ta’aduddi’ dan tulisan-tulisan penghinaan itu selepas ditunjukkan oleh pegawai penyiasat.

Kata Wan Ji, beliau hanya memiliki akaun Facebook dengan nama ‘Wanji Wanhussin Wanji’, sambil menunjukkan akaun tersebut kepada mahkamah menggunakan telefonnya.

Bagaimanapun, siasatan mendapati, kedua-kedua nama ‘Wan Ji At-ta’aduddi’ dan ‘Wanji Wanhussin Wanji’ mempunyai URL yang sama iaitu ‘https://www.facebook.com/wanji.attaadudi’

Wan Ji didapati melakukan kesalahan tersebut di alamat Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, Shah Alam pada November 2012.

Wan Ji juga pernah mencetuskan kontroversi apabila tersebar video dia mendedahkan usahanya untuk menghapuskan sistem beraja di negara ini menjelang tahun 2030 telah tular di media sosial.

Wan Ji bagaimanapun menafikan sambil mendakwa video tersebut telah disunting.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments