Sempena hari lahir, Najib titip doa buat Tun Mahathir

SEMPENA hari lahirnya, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima ucapan tahniah dan penghargaan daripada ramai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam satu hantaran di Facebook pagi ini, Najib mengucapkan selamat lahir kepada perdana menteri sambil mendoakannya sentiasa beroleh kesihatan.

“Selamat hari jadi kepada Tun Mahathir. Semoga Allah kurniakan kesihatan terbaik,” katanya.

Dr Mahathir yang juga perdana menteri tertua di dunia hari ini genap berusia 94 tahun.

Dr Mahathir pernah bertindak keluar daripada UMNO ketika era pentadbiran Tun Abdullah Badawi sebelum masuk semula ketika Najib mengambil alih pentadbiran pada 2009.

Kedua-duanya bertembung dan menjadi seteru politik sehingga menyebabkan kemunculan PPBM yang mengadakan pakatan bersama PKR, PAN dan DAP dan menumbangkang BN pimpinan Najib pada pilihan raya umum lalu.

Dalam satu temubual Februari lalu, Najib memberitahu bahawa perseteruan beliau dengan Dr Mahathir bukan bersifat peribadi.

“Hubungan kami sangat panjang dan saya bersyukur kerana pernah menjadikan saya timbalan perdana menteri dan menyokong saya ketika menjadi perdana menteri,” katanya.

Sementara itu, hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi daripada pengikut laman sosialnya dengan rata-rata menyifatkan beliau seorang pemimpin berjiwa besar.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments