Ikatan 6 tahun terlerai, Fizo Omar, Mawar sah cerai talak satu

    PERKAHWINAN selama enam tahun pelakon dan usahawan Fizo Omar dan isterinya Mawar Abdul Karim terlerai apabila disahkan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Selangor pagi ini.

    Fizo atau Wan Hafizol Wan Omar, 34, melafazkan talak satu terhadap Mawar, 30, pada pukul 10.55 pagi di hadapan Hakim Syarie, Che Abdullah Che Hassan.

    Hak penjagaan anak mereka Wan Maryam yang kini berusia dua tahun diberikan kepada Mawar.

    Mawar sebelum ini memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 5 Julai lalu.

    Fizo sebelum ini dilaporkan terkejut apabila dimaklumkan bahawa Mawar sudah mendapatkan nasihat daripada peguam mengenai masalah rumah tangga mereka.

    Dia tidak berniat untuk menyalahkan Mawar atau membuka aib mana-mana pihak namun beranggapan apa yang terjadi adalah ujian daripada Allah.

    “Saya tidak menyalahkan Mawar atau mahu mengaibkan sesiapa pun atas apa yang berlaku. Apa yang berlaku adalah ujian Allah untuk menguji keimanan hamba-Nya.

    “Saya berdoa Allah kurniakan penyelesaian terbaik dalam rumah tangga kami. Seandainya Dia sudah tentukan perpisahan adalah yang terbaik buat kami, saya reda dengan ketentuan-Nya,” katanya baru-baru ini.

    Mawar, 30, pernah memberitahu dia sudah menemui peguam untuk mendapatkan nasihat berhubung masalah rumah tangga mereka.

    Perkahwinan pasangan itu mula dikatakan berdepan dengan masalah dan menjadi bualan hangat netizen apabila Fizo menyambut Aidilfitri berasingan dengan isteri dan anak.

    Fizo dan Mawar mendirikan rumah tangga pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam yang kini berusia dua tahun.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments