Exco Perak nafi rogol, cabul pembantu rumah

EXCO Perak Paul Yong Choo Kiong menafikan sekeras-kerasnya tuduhan merogol pembantu rumahnya seorang wanita warga Indonesia sambil berkata “terkejut dan keliru” dengan dakwaan itu.

“Saya tidak pernah merogolnya, mencabul kehormatannya atau melakukan apa-apa gangguan terhadapnya,” kata Paul dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu berkata, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

BACA: Exco Kerajaan Negeri Perak disyaki rogol pembantu rumah

“Bagi membersihkan diri saya daripada pertuduhan bersifat fitnah tersebut, saya memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan membawa saksi-saksi untuk membantu siasatan polis,” ujarnya.

Paul juga berkata beliau menghormati proses undang-undang dan percaya pihak polis akan menjalankan siasatan secara profesional dan telus.

Semalam, pengadu yang berusia 20-an dikatakan telah membuat laporan polis selepas mendakwa suspek merogolnya di kediaman lelaki itu di Meru, Jelapang, Perak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Asisten Komisioner Choo Lily mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pemimpin parti berusia 48 tahun itu sudah ditahan untuk bantu siasatan.

Katanya, suspek memberi keterangan kira-kira sejam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Difahamkan, suspek datang memberi keterangan sambil ditemani seorang peguam yang juga seorang ADUN dari DAP.

Beliau menambah, pembantu rumah berkenaan masih dalam perlindungan polis dan akan mengambil keterangan daripadanya dari semasa ke semasa.

BACA: Pembantu rumah dakwa dirogol kini dalam perlindungan polis

NMP sebelum ini melaporkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah menitahkan supaya istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan exco kerajaan negeri Perak yang dijadualkan pada Khamis, 11 Julai ditunda.

Walaupun tidak dinyatakan punca penundaan tersebut, bagaimanapun ia dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan polis ke atas seorang anggota Exco Kerajaan negeri Perak.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments