‘Betul ke dia transgender?’ soal Tun M susulan pelantikan Rania Zara

TUN Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya ekoran polemik pelantikan seorang mak nyah dalam jawatankuasa Mekanisme Penyelerasan Negara (CCM) menjawab sama ada pemberita yakin Rania Zara Medina seorang lelaki.

Perdana Menteri juga bertanya sama ada pemberita ada memeriksa sama ada Ratu Trans Women 2017 itu seorang mak nyah.

“Apa transgender? Awak (pemberita) dah periksa dia ke? Betul ke dia transgender?

“Saya tidak tahu macam mana dia transgender, saya tidak jumpa dengan dia,” katanya berseloroh kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pelantikan tersebut menjadi panas selepas Rania Zara sendiri semalam membuat pengesahan mengenai pelantikan itu di akaun Facebook miliknya.

Rania Zara turut memuat naik surat pelantikannya yang ditandatangani Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye pada 25 Jun lalu.

Boon Chye dalam reaksinya dalam satu kenyataan malam tadi menegaskan, pelantikan Rania Zara itu dibuat melalui prosedur sedia ada.

Jawatankuasa itu bertujuan mengawal HIV dan Aids daripada merebak, sejajar dengan pelan strategik nasional untuk menangani penyakit itu.

Bagaimanapun pelantikan Rania Zara menjadi perhatian ramai sehingga menimbulkan kontroversi apabila didakwa kerajaan seolah-olah mengiktiraf komuniti mak nyah sehingga dilantik dalam sebuah pertubuhan peringkat kebangsaan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments