Sultan Perak titah istiadat angkat sumpah exco ditunda

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah menitahkan supaya istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan exco kerajaan negeri Perak yang dijadualkan pada Khamis, 11 Julai ditunda.

Pejabat Sultan Perak dalam satu kenyataan petang ini memberitahu, istiada berkenaan ditunda kepada tarikh yang belum ditetapkan.

Namun tidak dinyatakan punca penundaan tersebut.

Bagaimanapun, difahamkan, ia dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan polis ke atas seorang anggota Exco Kerajaan negeri Perak yang disyaki merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

BACA: Exco Kerajaan Negeri Perak disyaki rogol pembantu rumah

Difahamkan mangsa tampil membuat laporan polis semalam selepas dipercayai dirogol di kediaman lelaki itu di Meru, Ipoh.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Asisten Komisioner Choo Lily mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Ya… kita sudah menerima laporan polis yang dibuat mangsa semalam dan siasatan kini sedang dijalankan.

“Buat masa ini belum ada tangkapan namun suspek akan ditahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

Siasatan lanjut katanya, akan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Di Perak, anggota exco negeri itu mesti memperbaharui sumpah jawatan mereka setiap tahun.

Dalam barisan semasa susulan pilihan raya umum pada 9 Mei 2018, lima daripada 10 anggota exco di Perak adalah terdiri daripada ADUN DAP.

PKR dan Amanah pula masing-masing diberi dua dan tiga kerusi. Sementara jawatan menteri besar adalah dari Bersatu.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments