Exco Kerajaan Negeri Perak disyaki rogol pembantu rumah

POLIS hari ini mengesahkan seorang Exco Kerajaan Negeri Perak sedang disiasat kerana disyaki merogol pembantu rumahnya warga Indonesia.

Difahamkan mangsa tampil membuat laporan polis semalam selepas dipercayai dirogol di kediaman lelaki itu di Meru, Ipoh.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Asisten Komisioner Choo Lily mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Ya… kita sudah menerima laporan polis yang dibuat mangsa semalam dan siasatan kini sedang dijalankan.

“Buat masa ini belum ada tangkapan namun suspek akan ditahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

BACA: Sultan Perak titah istiadat angkat sumpah Exco Perak ditunda

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Laporan polis telah pun dibuat semalam (oleh pembantu rumah tersebut) dan bagi pihak parti, tiada sesiapa yang akan terlepas daripada undang-undang.

“Kita menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan kes tersebut,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, parti akan mengambil tindakan ke atas ahlinya itu sekiranya dakwaan tersebut benar.

“Tindakan yang sewajarnya akan diambil (terhadap individu itu) bergantung kepada hasil siasatan oleh pihak berkuasa,” katanya.

 

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments