Dilapor tinggal berasingan, perkahwinan kedua PU Abu pula bergolak?

    SELEPAS episod perceraiannya sebelum ini mencetuskan kontroversi, perkahwinan kedua Pencetus Ummah Muhammad Abu Sufyan Mokhtar Rozaini bersama usahawan kosmetik, Nurhannah Azra Mohd Zakir pula dilaporkan sedang bergolak dan menuju proses perceraian.

    Mengulas desas-desus tidak lagi hidup sebumbung dengan PU Abu, Nurhanna Azra berkata, dia hanya mahukan semuanya berakhir dengan baik.

    Beberapa portal hiburan turut menimbulkan spekulasi pasangan itu sedang dalam proses perceraian.

    “Saya cuma nak tengok dia (PU Abu) bahagia,” katanya sambil meminta diberi ruang untuk menenangkan diri.

    Nurhannah Azra yang juga pengasas kosmetik berpangkalan di Kedah bagaimanapun enggan mengulas lanjut perihal rumah tangga mereka kerana mendakwa dalam keadaan emosi kurang stabil.

    “Maaf, saya rasa cukup itu saja yang saya dapat kongsikan dengan media,” katanya.

    Pasangan itu yang dilaporkan bernikah di Satun, Thailand pada 2 Mei lalu mencetuskan kontroversi apabila berkahwin senyap-senyap sehingga PU Abu menceraikan isteri pertamanya, Ain ‘Afini Latif, 23.

    Hubungan pasangan itu dilaporkan mengalami masalah selepas didakwa membawa haluan masing-masing dan tidak lagi tinggal sebumbung.

    Nurhannah juga dilaporkan mengesahkan hubungannya dengan PU Abu akan berakhir dengan baik.

    PU Abu bagaimanapun menafikan hubungannya dengan Nurhannah Azra sudah berakhir, namun tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan mereka sudah tidak hidup sebumbung.

    “Tidak betul. (Kami) masih suami isteri,” katanya ringkas.

    TIMBUL juga desas-desus keretakan hubungan PU Abu dengan Nuhannah berpunca kerana lelaki itu sering balik melawat anaknya hasil perkahwinan pertamanya.

    Sementara itu, bekas isteri PU Abu, Ain berkata, dia tidak tahu menahu mengenai keretakan hubungan bekas suaminya itu sehingga diberitahu media.

    Ain berkata, dia ada berhubung dengan bekas suaminya itu dalam tempoh terdekat tetapi perbualan hanya berkisar mengenai anak lelaki mereka, Muhammad Adam Amsyar yang dilahirkan di Hospital Shah Alam pada 7 Jun lalu.

    “Saya enggan mencampuri hal rumah tangga mereka, itu hal mereka. Malah, tiada perancangan untuk kami rujuk semula, bab-bab rujuk saya tak berani nak cakap.

    “PU Abu ada kehidupan sendiri, begitu juga dengan saya,” ujarnya dipetik Harian Metro.

    Ditanya mengenai ucapan Hana yang mendoakan kebahagiaannya dengan PU Abu, Ain enggan mengulas dan tidak tahu mengenai hal itu.

    “Mungkin perlu tanya dia (Nurhannah) kenapa cakap macam itu,” katanya.

    Sementara itu, rata-rata warganet keliru dengan kehidupan rumah tangga PU Abu yang tidak pernah sunyi dengan kontroversi.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments