Tun M pelawa semua parti Melayu termasuk UMNO sertai Bersatu

TUN Dr Mahathir Mohamad mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menguatkan kuasa politik Melayu sebagai kaum majoriti negara ini.

Berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu di Johor hari ini, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu berkata, penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti.

“Dahulu hanya ada satu parti Melayu iaitu UMNO, tapi kerana tamakkan kedudukan, hari ini orang Melayu berpecah enam.

“Bukan lagi majoriti 60 peratus, tetapi setiap parti hanya 10 peratus. Saya harap orang Melayu yang masih dalam UMNO kena ingat, kita perlu bersatu untuk berjuang apa pun,” katanya.

Dr Mahathir turut mengingatkan ahli Bersatu supaya menjadikan kejatuhan UMNO di Johor sebagai pengajaran buat parti itu.

“Ini (kejatuhan UMNO) patut jadi pengajaran kepada kita, walau kita mengetuai parti yang kuat tetapi kalau kita menyeleweng, tidak berpegang kepada dasar perjuangan parti, lambat laun (rakyat) akan tolak kita.

“Ini yang berlaku sedangkan Johor dahulu kubu bagi UMNO, tetapi saya nampak sekarang ia sudah jadi kubu Bersatu,” katanya.

Dr Mahathir turut mengingatkan supaya jangan ada pihak menyekat sesiapa yang mahu menyertai Bersatu.

Mengulas lanjut ketika ditanya soal hasratnya untuk mempelawa lebih ramai ahli UMNO bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Mahathir berkata, Melayu akan menjadi kuat sekiranya ramai.

“Ya (masuk Bersatu termasuk UMNO?) Masuk Bersatulah. Dulu saya suruh masuk UMNO tapi la ini masuk Bersatu lah.

“Kita ramai kita jadi kuat tapi jangan dok sekat orang lain nak masuk parti, biar pi dia masuklah,” katanya.

Beliau juga tetap dengan pendirian tidak mahu parti komponen mencampuri urusan partinya termasuk melibatkan penyertaan ahli UMNO ke Bersatu.

“Itu (bantahan parti komponen PH) masalah dia (parti komponen) kita tak ada kaitan dengan parti-parti lain walaupun dalam PH. Mereka (komponen) pun dapat ahli baharu juga,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments