Tekad diet demi pikat gadis idaman, dah kurus tapi cinta ditolak

DIA bekerja keras kira-kira tujuh bulan untuk menurunkan berat badan.

Selain untuk menjadi ‘fit’ dan sihat, Ahmad Zikri Mohamad Nasir, 20, juga mahu mencapai misi rahsianya – meluahkan perasaan kepada seorang gadis yang juga rakan baiknya.

Dengan menjalani diet dan senaman selepas hari raya Aidilfitri tahun lalu, jejaka yang lebih mesra dengan panggilan Zikri itu berjaya menurunkan berat badan dari 120 kilogram (kg) kepada hanya 63 kg.

Menurut Zikri, dia pernah berhasrat untuk meluahkan perasaannya namun dihalang perasaan malu yang menebal lantaran keadaan fizikal dan berat badannya.

“Dulu aku malu nak confess dekat crush. Tapi bila dah kurus aku dah berani sikit nak confess,” katanya di Twitter sehingga menarik 10,000 kicau (retweet).

Bagaimanapun, dirinya hampa apabila luahan kepada gadis itu tidak mendapat balasan yang diharapkan.

Zikri turut memuat naik paparan skrin mesej yang dihantar kepada gadis berkenaan.

Biarpun menerima jawapan menghampakan, penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh, Johor itu mengakui menerima keputusan berkenaan dengan hati terbuka.

“Saya kenal dia di UTHM sekitar setahun lalu. Walaupun jawapan tak seperti diharapkan, kami tetap berkawan. Kecewa tu mesti ada. Tapi hati orang kita tak boleh paksa. Kena terimalah lumrah hidup.

“Saya cuma nak cakap, terima kasih jadi salah satu inspirasi saya untuk kurus. Mungkin hari ni dia tolak saya, siapa tahu nanti dia terima.

“Tapi kita kena teruskan hidup, baru sekali kena tolak. Saya masih ada harapan untuk dia, tapi kalau tak ada jodoh, saya move on,” katanya dipetik portal mStar.

Mengulas mengenai transformasi dari seorang gemuk, kepada lelaki yang lebih fit, Zikri berkata, dia percaya bahawa 80 peratus kejayaannya berhasil dari diet yang diamalkan berbanding hanya 20 peratus senaman.

“Pada saya, 80 peratus terletak pada diet, lagi 20 peratus kita bersenam. Saya memang elakkan makan nasi, mee dan roti. Saya juga kurangkan pengambilan benda manis.

“Saya amalkan senaman seperti joging, seminggu tiga kali. Sebenarnya agak sukar sebab dah gemuk dari kecil, tapi dengan keazaman tinggi akhirnya saya berjaya capai berat sekarang,” kata Zikri.

Tambah Zikri, banyak cabaran yang perlu dilalui oleh individu yang mempunyai masalah obesiti.

Selain kurang keyakinan diri, mereka juga mempunyai masalah kesihatan seperti kadar kolestrol tinggi, diabetes, penyakit jantung dan banyak lagi.

“Saya nak bantu orang di luar sana dapatkan badan yang sihat. Bila kita gemuk, ramai orang tak suka.

“Nak buat aktiviti pun lambat, ada masalah bau badan dan sebagainya. Saya pun memang gemuk dari usia muda lagi.

“Masalah kolestrol pun saya ada tapi sekarang dah baik. Saya pun tak sangka posting saya viral, tapi saya seronok nak bantu individu obesiti di luar sana untuk kuruskan badan mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, rata-rata netizen turut meninggalkan komen menyokong usaha Zikri menerusi ruangan balas posting berkenaan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments