Disyaki lesapkan RM200,000, bekas suami A.Aida dipanggil polis

    TEKA-teki siapakah orang rapat yang melesapkan wang lebih RM200,000 milik Datuk A Aida bakal terjawab apabila bekas suami produser itu dipanggil pihak polis bagi membantu siasatan.

    Polis mengesahkan suspek utama adalah suami A. Aida sendiri iaitu Ariff Aziz, 30, yang telah dijejaki Selasa lalu dan dipanggil untuk memberikan keterangan.

    Perkembangan itu sekaligus meniup cakap-cakap mengatakan kecurian wang itu adalah punca perceraian pasangan tersebut baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner, Noor Azmi Yusoff berkata, pihaknya berjaya menjejaki Ariff pada Selasa lalu.

    Polis turut merampas telefon bimbitnya.

    “Suspek adalah bekas suami A Aida sendiri. Bagaimanapun pihak kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

    “Kami rampas telefon bimbit suspek untuk mendapatkan maklumat seterusnya terutama berkaitan transaksi yang dibuat,” katanya dipetik mStar.

    Mengenai kemungkinan Ariff akan didakwa dalam masa terdekat, Noor Azmi berkata, pihaknya perlu melengkapkan kertas siasatan terlebih dahulu.

    “Selepas itu terpulang kepada pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) untuk tindakan susulan (mendakwa tau tidak),” katanya.

    Pada Rabu lalu A Aida, 49, mendedahkan dia kehilangan lebih RM200,000 dalam bentuk pelaburan menerusi dua transaksi di luar pengetahuannya.

    Sehubungan itu, A Aida membuat laporan di Balai Polis Taman Bukit Indah, Ampang pada 21 Jun lalu berkaitan kes tersebut.

    Dalam laporan yang dibuat itu, A Aida menamakan individu terdekat dengannya telah membuat dua transkasi pindahan pelaburan ke akaun tidak dikenali kerana hanya individu itu sahaja yang mempunyai maklumat peribadi A Aida bagi tujuan tersebut.

    A Aida dikatakan menyedari wang berkenaan hilang yang keseluruhannya berjumlah RM213,805 ketika membuat semakan akaun semasa bercuti di Mesir antara 21 Mac hingga 31 Mac 2019.

    Semasa semakan itu, A Aida mendapati terdapat dua transaksi luar biasa telah dibuat seseorang pada 1 Mac 2019 kira-kira pukul 5.45 pagi iaitu sebelum dia berangkat ke Mesir lagi.

    Selepas pulang dari bercuti itu, A Aida melalui peguamnya Datuk Zulkifli Che Yong terus membuat permohonan untuk bercerai dengan Ariff kerana rumah tangga mereka tidak dapat diselamatkan lagi.

    Pada 18 Jun lalu pula, A Aida melakukan kejutan apabila dia mengumumkan sudah bercerai dengan Ariff atau nama sebenarnya Wan Izma Ariff Abd Aziz selepas pelakon itu melafazkan cerai talak satu pada 25 April 2019.

    BACA JUGA: ‘Rujuk? Aku nak muntah’, kata Ariff sambul buat muka loya

    Dalam pada itu, A Aida ketika ditanya adakah kejadian tersebut menjadi punca perceraiannya, enggan memberi komen.

    “Seperti saya katakan sebelum ini, jodoh… ajal dan maut di tangan Tuhan. Dia yang menentukan apa yang berlaku.

    “Mengenai kes itu pula, saya tak boleh beri apa-apa kenyataan kerana ia dalam siasatan polis dan biarlah pihak berkuasa sahaja mengulas mengenainya.

    “Apa yang saya harapkan kes ini berjalan dengan baik dan pihak yang bersalah dapat didakwa menurut peruntukan undang-undang,” ujarnya dipetik portal tersebut.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments