Fizo akui rumah tangga bersama Mawar bermasalah, sedia ke mahkamah

    SELEPAS mengambil sikap mengunci mulut, Fizo Omar akhirnya mengakui bahawa rumah tangga yang dibina bersama isterinya, Mawar Abdul Karim kini berdepan masalah.

    Fizo juga mengesahkan bahawa isterinya ada membawa kes rumah tangga mereka ke mahkamah sekaligus membawa kemungkinan bahawa mereka akan berpisah.

    “Apa-apa pun keputusan mahkamah nanti saya terima. Saya memohon maaf dan juga memaafkan semua pihak.

    “Walau apa yang berlaku sekalipun, InsyaAllah hubungan saya dan mawar akan terus baik demi membesarkan dan mendidik Wan Maryam, zuriat daripada Allah yang kami nantikan selama empat tahun.

    “Apa jua yang terjadi Mawar tetap ibu kepada anak kami,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram semalam.

    Fizo sebelum ini mengakui terkejut apabila dimaklumkan isterinya sudah mendapatkan nasihat daripada peguam mengenai masalah rumah tangga mereka.

    Selain itu kata Fizo, 34, setiap pasangan yang berkahwin menyimpan impian untuk menjalani kehidupan bahagia buat selama-lamanya.

    “Sesiapa sahaja yang mendirikan rumah tangga pasti mempunyai impian untuk hidup bahagia dan mempertahankan rumah tangga hingga ke jannah.

    “Tapi apabila sampai waktunya, kita dipilih oleh Allah untuk diuji. Ia bermaksud kita mampu untuk menghadapinya dan percayalah Allah tidak pernah zalim kepada hamba-NYA,” katanya.

    Mawar, 30, sebelum ini memberitahu dia sudah menemui peguam untuk mendapatkan nasihat berhubung masalah rumah tangga mereka.

    Perkahwinan pasangan itu mula dikatakan berdepan dengan masalah dan menjadi bualan hangat netizen apabila Fizo menyambut Aidilfitri berasingan dengan isteri dan anak.

    Fizo dan Mawar mendirikan rumah tangga pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam yang berusia dua tahun.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments