Datin ‘mengamuk’ tidak dilayan staf kedai nasi ayam akhirnya berdamai

SELEPAS insiden guru merotan pelajar perempuan berakhir dengan jalan perdamaian, satu lagi kontroversi melibatkan video tular seorang datin memarahi pekerja restoran nasi ayam di Putrajaya turut berakhir dengan pemuafakatan.

Persengketaan antara Datin Nona dan kakitangan sebuah kedai nasi ayam popular di Alamanda, Putrajaya itu berakhir menerusi satu pertemuan selama hampir dua jam, di lokasi sama pada petang semalam.

Tiga kakitangan pengurusan tertinggi The Chicken Rice Shop (TCRS) Restaurant Sdn Bhd hadir bersemuka dengan isteri komposer terkenal itu bagi menjernihkan kembali situasi yang tegang sebelum ini.

Pertemuan itu dihadiri Pengurus Latihan Kumpulan dan Perhubungannya, Badrul Hisham Mohd Zahir, Pengurus Besar Operasi Wong Yin Fong dan juga Pengurus Latihan Perkhidmatan Pelanggan Julia Mohamed Noor.

Pertemuan antara Datin Mona dan pengurusan TCRS yang berlangsung pada petang Rabu di Alamanda, Putrajaya. Foto mStar

Kesal dengan insiden yang berlaku, Julia memohon maaf atas perbuatan kakitangan wanita itu yang juga pengurus kedai nasi ayam tersebut di cawangan Alamanda, Putrajaya.

“Kami minta maaf. Kami amat prihatin dengan apa yang berlaku. Sudah tentu pihak kami takkan biarkan sahaja insiden itu. Nak viral, virallah… kami bukan macam tu.

“Kami sudah bertemu dan dengar penjelasan dia. Kami tidak menyebelahi mana-mana pihak sebab kami mahu bersikap adil kepada sesiapa sahaja. Pelanggan amat penting tidak kira siapa pun mereka.

“Jadi tindakan segera sudah diambil sebaik sahaja insiden itu viral. Kakitangan itu juga sudah diberikan kaunseling. Kami ambil positif maklum balas datin. Ia amat penting untuk membantu kami memperbaiki mutu perkhidmatan kami,” katanya dipetik portal mStar.

Badrul Hisham dalam pada itu, menjelaskan bahawa syarikat itu sebenarnya tidak mengamalkan sistem beratur pada waktu normal.

Sebaliknya, kata beliau. pelanggan hanya perlu beratur bila penuh dan bila ada kekosongan, mereka boleh masuk dan duduk di dalam restoran sambil menunggu staf mengambil pesanan.

“Kami tidak pernah amalkan sistem beratur bila ada meja kosong. Jadi kami amat kesal. Sepatutnya insiden seperti ini tidak seharusnya berlaku.

“Bagi saya pengurus perlu tengok kes demi kes. Ia mudah. Semuanya mengenai logik akal. Jadi kami harap insiden seperti ini tidak akan berulang lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Datin Nona yang hadir bersama ibunya turut meminta maaf di atas kekecohan tempoh hari.

“Saya mak-mak jadi bila dah sampai mak mak punya level tu memang mengamuklah, lebih-lebih lagi bila dengar perkataan kalau masuk kami tak layan.

“Memang saya marah. Tapi apa pun saya minta maaf. Saya bukan niat nak viralkan video tu untuk popular. Saya sendiri terkejut dan tak expect langsung video tu dah cecah 1.6 juta tontonan.

“Niat saya hanya mahu kedai ini perbaiki kelemahan sistem perkhidmatan mereka. Rata-rata penduduk di Putrajaya suka makan nasi ayam di sini, jadi apa kata lakukan penambahbaikan untuk keselesaan semua,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments