Anak kunci pintu nak main telefon, ibu panik panggil bomba

SEORANG kanak-kanak yang berada dalam kereta bertindak mengunci pintu kenderaan itu kerana tidak mahu ibunya mengambil telefon bimbit yang sedang digunakannya untuk bermain.

Kejadian tersebut berlaku di Pasir Mas, Kelantan pada 21 Jun lalu, apabila ibunya singgah untuk membeli sesuatu di tepi jalan sebelum menyedari keempat pintu keretanya tidak boleh dibuka.

Ahli keluarga kanak-kanak itu yang enggan dinamakan memberitahu, panik dengan kejadian tersebut, ibu kanak-kanak itu terpaksa memanggil bomba setelah anaknya enggan membuka pintu.

“Dia buat perangai hari ini. Dia kunci pintu kereta dan tak nak buka sebab nak main telefon.

“Dia pandai buka kunci pintu tetapi (sengaja) tak nak buka sebab takut orang ambil telefon dari dia. Akhirnya, ibunya terpaksa panggil bomba.

“Ketika bomba tengah kalut nak buka pintu, dia tak tengok pun. Kita panggil pun dia buat tak tahu. Tak tengok kita langsung,” katanya.

Kejadian itu mencetuskan pelbagai reaksi warganet dengan rata-rata menyalahkan keluarga kanak-kanak itu.

Namun, ada yang berpandangan bahawa kereta tersebut mungkin terkunci kerana sistem penggera yang menyebabkan pintu dikunci secara automatik.

Sebahagian warganet menyarankan supaya ibu bapa usah terlalu mudah memberi telefon bimbit kepada anak kerana ia boleh mendatangkan perkara tidak diingini jika gagal dikawal.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments