Lagi kes tanah runtuh tapak binaan di P.Pinang, 4 dipercayai terbunuh

EMPAT orang pekerja dipercayai terbunuh selepas tertimbus dalam satu kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak pembinaan di Jalan Tanjung Bungah dekat George Town, malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri, Phee Boon Pooh berkata, kejadian berlaku tidak jauh dari pusat peranginan Lost Paradise Resort di Jalan Batu Feringgi di kawasan sempadan Tanjung Bungah dan Batu Feringgi.

Kejadian berlaku kira-kira lapan bulan selepas tragedi tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan di Paya Terubong yang mengorbankan sembilan nyawa.

“Pasukan penyelamat sudah dikerah untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba Pulau Pinang Saadon Mokhtar berkata operasi mencari dan menyelamat diaktifkan jabatan itu dengan penglibatan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selepas laporan berhubung insiden itu diterima kira-kira pukul 9.25 malam ini.

“Setakat ini kita sudah menemui lokasi mayat-mayat di bawah timbunan tanah kira-kira 15 kaki dalam dan usaha mengeluarkan mereka sedang dilakukan,” katanya dipetik Bernama.

 

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments