“Dia jarang rotan murid.” bekas pelajar tampil pertahan guru

SEORANG lelaki tampil mempertahankan tindakan bekas gurunya yang merotan pelajar perempuan kerana mengeluarkan perkataan biadap di sebuah sekolah di Johor, semalam.

Bekas pelajar SMK Skudai itu memberitahu, guru lelaki yang mengajarnya subjek Bahasa Melayu itu merupakan seorang yang baik dan penyabar.

Lelaki itu, Siva N Eswaran berkata, dia percaya, tindakan bekas gurunya itu hanya untuk memberi pengajaran agar pelajar terbabit menjadi insan yang berguna suatu hari nanti.

“Well guys, dia adalah cikgu BM saya, belajar dengan dia selama 5 tahun dan sekarang sudah 8 tahun saya kenal dia.

“Cikgu memang baik orangnya dan jarang rotan anak murid. Sebab dialah saya fasih berbahasa Melayu dan kerana cikgu-cikgu di sekolah itu merotan saya, sekarang saya berjaya melangkah ke universiti,” tulis Siva dalam satu komen di Facebook.

Semalam sebuah video tular memaparkan tindakan seorang guru yang telah merotan di beberapa bahagian badan seorang pelajar perempuan didakwa berkelakuan biadap di sebuah sekolah menengah di Skudai, Johor.

Video berdurasi dua minit 28 saat yang tersebar itu menunjukkan seorang wanita meminta penjelasan daripada seorang guru lelaki ekoran anak perempuannya dirotan.

Difahamkan, guru lelaki berkenaan merotan murid perempuan itu disebabkan dia bersikap kurang ajar dengan menggelarkan cikgu berkenaan ‘ah kua’ atau dalam bahasa Melayunya ‘pondan’.

Siva juga meluahkan rasa kecewa terhadap pelajar perempuan terbabit kerana bersikap kurang ajar menggelarkan cikgu berkenaan sebagai pondan.

Malah, dia menyifatkan ibu bapa pelajar terbabit gagal dalam membentuk anak mereka menjadi insan yang menghormati orang lain.

“Pelajar itu memang patut kena rotan. Kalau saya jadi cikgu, saya akan suruh dia cuci jamban sekolah sebab mak bapak dia gagal dalam mendidik anaknya menghormati orang lain,” tulisnya lagi.

 

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments