Aliff sedang putus asa, berasa kehilangan – Bella Astilla

    SELEPAS berdepan kontroversi demi kontroversi, penyanyi dan pelakon Singapura, Aliff Aziz dikatakan sedang bergelut dengan tekanan dan kekecewaan selain berasa kehilangan.

    Belum pun reda isu curang sehingga menyebabkan perceraian, kini timbul pula dakwaan dia mencuri wang rakan artis Indonesia dan terbaru penyebaran video artis itu bertengkar di telefon.

    Turut tersebar gambar tubuhnya dipenuhi tatu tertera nama bekas isterinya, Bella Astillah.

    Bella memberitahu, dia ada menghubungi Aliff hari ini bagi bertanyakan penularan video berkenaan dan lelaki itu mendakwa dirinya sedang dianiaya.

    “Saya tak dapat menahan sedih dan terus menghubungi dia. Apa yang terdapat dalam video itu hanya untuk mengenakan dia.

    “Aliff terasa kehilangan dan putus asa. Perlukah kita bersorak gembira? Adakah kita betul-betul tiada hati dan perasaan? Adakah kita atau ahli keluarga kita dah cukup sempurna?” katanya.

    Menurut Bella, walaupun mereka bukan lagi suami isteri, dia tetap berharap Aliff dapat dibantu mendepani kesukaran yang dialaminya.

    Mengenai tatu tertera namanya itu, Bella memberitahu, ia adalah inai yang dilukis di badan Aliff pada 2016 lalu.

    “Itu bukan tatu, itu inai. Ketika itu saya berada di China. Rasanya sudah lama sangat,” katanya.

    Semalam tular video memaparkan penyanyi lagu Sayang Sayang itu didakwa sedang bertengkar dengan seseorang menerusi panggilan telefon.

    Malah, turut tular penampilan Aliff yang dipenuhi dengan tatu termasuk tertera nama Bella.

    Bella, dia sempat membawa anak mereka Ayden yang kini berusia tahun berjumpa Aliff sebelum bercuti ke Melbourne, Australia, baru-baru ini.

    “Walau apa pun, dia tetap bapa kepada anak saya. Sebenarnya sebelum berangkat ke Melbourne, saya bawa Ayden berjumpa dengan Aliff di Singapura untuk meluangkan masa dengannya. Apa yang terjadi sekarang sangat mengejutkan saya dan keluarga,” katanya.

    Bella juga mengakui sudah memaafkan bekas suaminya itu dan tidak pernah menghalang Aliff untuk berhubung dengan anak mereka.

    “Jangan kita meremehkan hal yang berkenaan dengan tekanan. Saya selalu beritahu Aliff dia boleh selalu menghubungi atau buat video panggilan pada Ayden bila-bila masa.

    Saya tak berdendam dengan dia dan sudah maafkan dia 100 peratus. Siapalah saya nak menghukum dia.

    “Aliff seorang yang sangat bijak dan berilmu tinggi cuma iman dia kurang. Dan kepada siapa pun yang berkawan dengan Aliff sekarang, lindungi dan bantulah dia bukan sebaliknya,” katanya.

    Sementara itu, pelukis inai yang dikenali sebagai Kak Lea menerusi Instagram mengesahkan tulisan nama Bella yang dikatakan tatu itu adalah inai.

    “Itu adalah inai hitam yang abang saya lukiskan untuk Aliff ketika dia datang lepak di rumah saya. Bukan tatu betul tu. Ini gambar lama iaitu sebelum Aliff dan Bella kahwin,” tulisnya di Instagram.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments