Perakam video aksi ‘picit roti’ akui tak senang duduk

TUKANG rakam perbuatan seorang daripada sekumpulan remaja merosakkan barang makanan di sebuah kedai serbaneka semalam mengakui mula tidak senang duduk apabila video itu tular di media sosial.

Sebaik video itu bertukar menjadi kecaman hebat di media sosial, Luqman Haqim, 18, dari Nilai, Negeri Sembilan memberitahu, dia dan rakan-rakan berusaha menjernihkan keadaan.

“Kami pergi semula ke Family Mart. Kami minta maaf dengan staf kat situ. Kami kata kami nak pergi bayar tapi staf berkenaan kata pihak atasan sedang siasat.

“Kami diminta tinggalkan nombor telefon dan nombor kad pengenalan. Masa tu rasa dah tak berapa best,” kata Luqman.

Menurutnya, penularan video berkenaan memberi kesan kepada dirinya kerana dia bertanggungjawab membuat rakaman video itu.

Video asal kejadian berkenaan dimuat naik menerusi akaun Instagram Luqman iaitu @Luqbubbles sebelum ia ditularkan ke platform media sosial lain oleh netizen.

“Mula-mula tu memang rasa kelakar. Tapi bila dia dah buka minuman tu, kami pun tegur dan marah dia. Harap Family Mart dapat maafkan kesalahan bodoh tak bertempat tu.

“Kami ada lebih kurang lima ke enam orang masa tu, tapi seorang je yang buat. Sebenarnya masa tu nak beli oden, tapi barisan panjang. Kami bosan, kemudian berlakulah kejadian tu,” jelasnya.

Luqman memberitahu, mereka sudah tidak tahu untuk melakukan apa-apa bagi meredakan keadaan selain memohon maaf.

Ditanya mengenai laporan berita mengenai polis yang sedang mengesan mereka, Luqman berkata, setakat ini dia belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

Terdahulu, kelibat remaja terbabit merosakkan beberapa plastik makanan dan minuman, kira-kira jam 10 malam semalam tular di media sosial.

Menyedari tindakan mereka menimbulkan kemarahan ramai, remaja terbabit memuat naik satu lagi video dengan mendakwa sudah membayar makanan yang dirosakkan itu terlebih dahulu sebelum merekod video.

Remaja yang memicit dan merosakkan makanan di premis berkenaan turut meminta maaf.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar dipetik Harian Metro sebagai berkata, pengurus premis berkenaan membuat laporan polis pada jam 11.20 malam.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments