Azmin yakin video seks ‘kerja’ orang dalam PKR sendiri

TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin bahawa video seks yang didakwa melibatkan dirinya didalangi oleh “orang dalaman” parti itu.

Ditanya sama ada beliau yakin mengenai desas-desus penyebaran video itu dilakukan sendiri oleh orang PKR sendiri, Mohamed Azmin berkata: “”Ya, saya yakin, saya yakin.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian hak pembangunan antara Konsortium PCSB-MGB di Shah Alam, hari ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau yakin bahawa video itu adalah agenda orang dalaman parti susulan seorang ketua PKR negeri yang dilaporkan “hilang”.

The Star melaporkan bahawa kumpulan WhatsApp PKR kecoh apabila individu berkenaan tidak dapat dikesan.

Laporan akhbar itu menyebut individu berkenaan gagal dihubungi sejak klip video pertama mengenai skandal seks yang dikatakan melibatkan Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, mula diedarkan minggu lalu.

The Star berkata nama individu itu muncul ketika Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang mengaku sebagai seorang lagi individu dalam klip video tersebut, ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika mahu berlepas ke Manila.

Akhbar itu memetik pemimpin PKR yang tidak dinamakan sebagai berkata, pengerusi PKR negeri itu menepati gambaran kerana dikatakan mempunyai saudara mara di Filipina.

Walaupun The Star tidak menyebut namanya, adalah dipercayai laporan itu merujuk kepada setiausaha politik kepada presiden PKR Anwar Ibrahim, iaitu Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Anwar juga berulang kali menafikan bahawa dirinya atau pembantunya berada di sebalik belakang skandal seks berkenaan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments