Wanita dakwa dianiaya selepas bantu Sajat ubah jantina pada MyKad

SEORANG wanita mendakwa dirinya dianiaya selepas cuba membantu proses penukaran jantina usahawan terkenal, Sajat.

Yusmiliati Mohamed Yusof berkata, pada awalnya dia menawarkan diri bagi membantu Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman mengubah status jantina asal pada kad pengenalannya.

Menurutnya, dia menawarkan perkhidmatan itu untuk sejumlah bayaran, lapor portal Malaysiakini.

Kata Yusmiliati, dia mula berkenalan dengan Sajat melalui orang ketiga pada sekitar Jun 2017.

“Dia yang ketika itu ditemani pembantu, Ashaari Maznan, menyatakan hasratnya kepada saya untuk membuat permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menukar jantina pada kad pengenalan aslinya, iaitu daripada lelaki kepada perempuan.

“Saya katakan kepada dia yang saya boleh bantu dengan jumlah bayaran perkhidmatan yang dipersetujui,” katanya.

Yusmiliati ditemui pada sidang media berhubung isu terbabit di pejabat Persatuan Pekerja Perfileman Malaysia (Profima) di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir peguam Yusmiliati, Ahmad Faiq Azizan dan Mohd Amirul Ramli.

Bagaimanapun, menurut Yusmiliati, pada 30 September dan 13 Oktober 2017, JPN menghantar salinan surat kepada mereka menyatakan bahawa permohon tersebut ditolak.

“Alasan JPN ialah pemohon gagal melampirkan salinan surat doktor yang mengesahkan dia seorang khunsa,” katanya.

Yusmiliati mendakwa susulan keputusan itu ahli perniagaan terbabit yang turut terkenal sebagai penyanyi melemparkan pelbagai tuduhan selain membuat laporan polis ke atasnya pada 29 Ogos 2018.

Tindakan Sajat, katanya, menyebabkan dia ditahan reman selama empat hari di Balai Polis Ampang dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Saya kemudian didakwa di Mahkamah Majistret Ampang dan kes itu masih dalam proses,” katanya yang mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan dan minta dibicarakan.

Justeru, Yusmiliati menggesa Sajat membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam.

Sekiranya gagal, kata Yusmiliati, dia akan memulakan proses tindakan undang-undang ke atas personaliti terbabit.

“Saya nak Sajat dan Ashaari membuat satu permohonan maaf kepada saya dalam masa 48 jam dari tarikh hari ini,” katanya.

Menurut Yusmiliati dia mahu permohonan maaf itu dibuat secara bertulis dan dialamatkan kepada peguamnya. Dia juga mahu Sajat dan pembantunya memuat naik rakaman video permohonan maaf terbuka mereka di laman sosial.

Sementara itu, Sajat dalam reaksinya menegaskan tidak akan meminta maaf kerana tidak mengenai Yusmiliati dan tidak pernah cuba untuk menukar jantina pada kad pengenalannya.

Malah Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 34, turut menafikan pernah membayar bagi mendapatkan pertolongan menguruskan dokumen menukar maklumat jantina di dalam MyKad seperti yang didakwa Yusmiliati.

“Merepeklah! Saya tak pernah minta tukar jantina. Saya juga tidak akan membuat permohanan maaf atau membayar sebarang pampasan seperti yang dituntut individu tersebut.

“Sebab saya pun tidak kenal dan tidak pernah bertemu dengan dia, semua yang didakwa itu juga tidak benar,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments