‘Sebab dia pilihan terbaik’, timbalan menteri jelas pelantikan Haziq

TIMBALAN Menteri Perusahaan Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin menjelaskan, pelantikan Haziq Aziz sebagai Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) beliau adalah kerana pemuda itu adalah pilihan terbaik berdasarkan pengalaman dan kelayakannya.

Shamsul memberitahu, beliau memilih untuk melantik Ketua AMK Cabang Santubong itu selepas penyandang kerusi itu meletak jawatan.

Katanya, selain berasal dari Malaysia Timur (Sarawak) sebagai satu kelebihan, pelantikan Haziq juga berdasarkan kelayakan akademik dan pengalaman dalam pengurusan hal ehwal pentadbiran.

Malah, katanya, Haziq juga mempunyai sejarah panjang dalam PKR apabila mula menyertai parti itu sejak berusia 19 tahun.

“Saya mengenali Haziq pada tahun 2012 apabila dia mengetuai mahasiswa PKR di Universiti Malaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu menyusul ketika wujud dakwaan bahawa ada motif di sebalik pelantikan Haziq sebagai SUSK – jawatan yang dianggap penting di kementerian – dengan usianya yang masih muda.

Shamsul bagaimanapun berkata, tiada sebarang agenda tersembunyi di sebalik pelantikan Haziq.

Menolak dakwaan itu, Shamsul berkata beliau seperti juga orang lain terperanjat apabila Haziq mendakwa Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali ialah individu di dalam klip video yang memaparkan kedua mereka dalam perlakuan seks.

“Tindakan beliau ini sangat mengejutkan dan tentunya sama sekali tidak diduga.

“Saya menyeru pihak-pihak yang membuat tohmahan tidak berasas dan fitnah liar kononnya saya mempunyai agenda tertentu dengan perlantikan Haziz agar segera menghentikan tuduhan tersebut.

“Saya juga tegaskan bahawa saya menolak sebarang politik kotor yang ingin mencemarkan nama baik mana-mana pemimpin ataupun individu,” katanya pada suatu kenyataan hari ini.

Shamsul memberitahu, sebelum menyertai kementeriannya, Haziq pernah bekerja bersama beberapa pemimpin PKR lain termasuk Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya dan N. Surendran.

Haziq juga katanya, kemudian bertugas sebagai pelatih di bawah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli seterusnya di bawah Menteri Besar Selangor yang ketika itu disandang Mohamed Azmin.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments