Perkahwinan sama jantina dapat apa? soal Tun Mahathir

TUN Dr Mahathir Mohamad mencuri tumpuan ketika berucap sempena lawatannya ke Cambridge Union Society, London apabila melemparkan komen sinis kepada golongan gay yang disifatkannya mencemari institusi perkahwinan.

Terdahulu, Perdana Menteri ditanya mengenai pendirian Malaysia terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT).

Dr Mahathir dalam jawapannya mempersoalkan golongan tersebut sehingga ada yang mendirikan perkahwinan dengan sesama jantina.

“Saya tak faham dengan perkahwinan sesama jenis ini. (Dengan) perkahwinan kita akan mendapat anak. Tapi dengan perkahwinan gay ini, anda dapat apa?,” soalnya.

Beliau berkata, golongan gay biasanya terpaksa mengambil anak angkat kerana mereka tidak mampu mempunyai anak dengan cara semulajadi.

Golongan itu, tegas Dr Mahathir, adalah antara punca sehingga institusi perkahwinan dicemari dengan perkara-perkara yang tidak baik.

“Bagi saya, perkara beginilah yang merosakkan institusi perkahwinan. Tiada perkahwinan, tiada keluarga. Apa akan jadi pada kita?,” soal beliau lagi.

Menurut Perdana Menteri, masalah tersebut timbul kerana wujudnya cara pemikiran yang percaya semua orang bebas melakukan apa yang mereka mahu.

“Pemikiran bahawa semua orang bebas. Mereka boleh melakukan apa sahaja. Lelaki berkahwin dengan lelaki, wanita dengan wanita. Semuanya dikatakan boleh kerana semua orang ada hak.

“Bagi saya ini tidak betul. Sebab itu, walau apa pun, kita tidak boleh memberi kebebasan secara mutlak sehingga ada yang bebas melakukan kerosakan,” kata Perdana Menteri.

Dr Mahathir Mohamad berada di Cambridge Union Society yang menjadi lokasi pertemuan persatuan debat paling tua di dunia sempena lawatan kerja tiga hari di United Kingdom.

Cambridge Union Society merupakan antara medan terbaik dunia dalam forum pertukaran idea serta seni perdebatan umum sejak 1815.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments