Hotel Four Point Sandakan ambil sikap ‘tutup mulut’

HOTEL Four Points by Sheraton di Sandakan yang dikaitkan dengan rakaman video intim yang tular baru-baru ini enggan mengesahkan siapa tetamu yang memasuki bilik yang didakwa diduduki seorang menteri pada 11 Mei lalu.

Pada masa sama, hotel berkenaan juga menolak untuk mengesahkan sama ada benar seorang lelaki bercermin mata gelap dan memakai “hoodie” memasuki bilik 2526 antara 1 pagi dan 2 pagi pada tarikh tersebut.

Laporan portal FMT memetik jurucakap hotel itu sebagai berkata, pihaknya menyedari isu tersebut telah menjadi perhatian pihak berkuasa.

Jurucakap itu juga menegaskan, pihak hotel juga tidak dapat memberi maklumat lanjut sama ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada malam kejadian akan didedahkan atau tidak.

Laporan tersebut memetik jurucakap berkenaan sebagai berkata: ““Kami sedar tentang laporan-laporan mutakhir ini berkaitan video yang didakwa melibatkan Haziq Abdul Aziz dan Azmin Ali.

“Pihak hotel sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan sepenuhnya menghormati privasi tetamu kami. Oleh itu, kami tidak boleh beri maklumat lanjut.”

Ketua Angkata Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Aziz sebelum ini mengakui bahawa dirinya merupakan salah seorang lelaki dalam video intim yang tular baru-baru ini.

Haziq yang juga Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Perusahaan Utama mendakwa, seorang lagi lelaki dalam klip berkenaan adalah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan rakaman itu dibuat pada 11 Mei lalu, ketika pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.

Mohamed Azmin bagaimanapun menafikan dakwaan itu sambil mengancam akan mengambil tindakan undang-undang. Beliau bagaimanapun belum membuat laporan polis atas kapasiti peribadi.

Timbalan Ketua AMK Sabah, Blission Zainuddin sebelum ini menafikan ada melihat kelibat Haziq ketika PRK berkenaan, namun mengesahkan Mohamed Azmin menginap di hotel tersebut pada 11 Mei.

Ekoran penyebaran video berkenaan, sebahagian warganet membuat carian gambar-gambar bilik hotel tersebut dan rata-ratanya mendapati keadaan bilik termasuk susun atur dan hiasan dalamannya sama seperti dalam video tersebut.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments