Dituduh pula kebas duit pelakon Indonesia, artis ‘AA’ buat hal lagi?

SEORANG pelakon terkenal Indonesia, Raja Yunika Putri membuat pendedahan mendakwa menjadi mangsa kecurian membabitkan artis lelaki Singapura yang menempa nama di Malaysia ketika berada di sebuah kelab malam di republik itu, pada 7 Jun lalu.

Portal berita haluankepri.com memetik kenyataan Raja Yunika yang mendakwa ada bertemu dengan artis berkenaan di sebuah kelab malam di Clarke Quay, Singapura.

“Pada masa itu saya berjumpa dengan dia di Clarke Quay, Singapura.

“Saya kemudian pergi membuat bayaran di kaunter dengan meninggalkan beg mengandungi wang dan barang berharga di tempat duduk,” dakwanya.

Walaupun tidak menyebut nama, portal berkenaan dalam satu lagi laporan memetik Yunika sebagai berkata, artis berkenaan pernah menyanyi berduet dengan artis Indonesia, Syarini.

Dalam laporan lain, portal berkenaan menamakan artis terbabit sebagai ‘AA’.

Yunika mendakwa, kira-kira 2 pagi waktu tempatan, artis lelaki berkenaan mengucapkan selamat tinggal dan memberitahu mahu pergi ke suatu tempat untuk bertemu rakannya.

“Tidak lama selepas artis itu pergi, saya mengambil dompet dalam beg. Malangnya, sejumlah wang dalam mata wang dolar Singapura dan rupiah saya hilang.

“Sudah pasti saya mengesyaki artis terbabit mengambilnya berikutan sebelum itu beg saya berada di tempat duduk.

“Saya ada memberitahunya mahu melaporkan kejadian kepada polis, namun dia mencabar saya supaya terus melaporkannya,” katanya.

Menurut Yunika, dia bertindak melaporkan kejadian itu kepada polis Singapura dan kini kes itu dikendalikan oleh polis republik itu.

Menariknya, kes tersebut turut melibatkan peranan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Abdul Rahman.

“Tidak lama selepas kejadian itu, dengan bantuan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) saya melaporkan kejadian itu kepada polis dan kini kes itu dikendalikan polis Singapura.

“Kes ini mendapat perhatian Atase Nasional Polis Singapura, Joko Setiono,” kata Yunika.

Katanya, kejadian itu memberinya pengalaman berharga supaya jangan mudah percaya kepada orang walaupun seorang selebriti.

Ditanya berapa jumlah kerugian dicatatkan, Yunika tidak mendedahkannya kerana jumlahnya tidak penting.

“Bagi saya, berapa pun jumlahnya bukan perkara utama, tetapi masalah moral dan harga diri.

“Bagaimana seorang yang cukup dikenali boleh mengambil tindakan memalukan terhadap seorang wanita,” katanya.

Yunika turut mengucapkan terima kasih kepada Syed Saddiq kerana membantunya sehingga kes berkenaan mendapat perhatian polis Singapura.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada YB Syed Saddiq. Kerana peranannya, insiden ini boleh sampai ke polis Singapura.

“Selepas kejadian itu, saya segera menghubungi beliau dan atas cadangannya saya diminta melaporkan kepada polis,” katanya.

Dia yang terkenal membintangi filem Cinta Palsu Suaminya berkata, pada mulanya dia tidak tahu apa perlu dilakukan di negara orang.

“Pada awal kejadian, saya kecewa dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tetapi saya menghubungi Syed Saddiq yang saya kenal beberapa lama dulu.

“Syukurlah dia memberi maklum balas dan meminta saya melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments