Peguam mula kebingungan, ke mana Haziq Aziz dibawa?

SETELAH berlegar laporan Haziq Abdul Aziz ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam petang tadi, lokasi sebenar pemimpin muda PKR itu dibawa masih belum diketahui sehingga membingungkan barisan peguamnya.

Salah seorang peguamnya, Sivahnanthan Ragava, sehingga pukul 11 malam ini, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai lokasi sebenar anak guam mereka dibawa walaupun sudah mengajukannya kepada pihak berkuasa.

“Kami telah hubungi banyak balai polis namun tiada yang dapat memberi pengesahan di mana Haziq berada. Tiada maklumat mengenai di mana beliau akan direman, mereka (polis) patut beritahu,” katanya.

Justeru, pasukan peguam telah menggesa supaya ahli keluarga Haziq membuat laporan polis berhubung penahanan tersebut.

Bagaimanapun, Sivananthan memberitahu, pihaknya menjangkakan Haziq akan direman esok (Sabtu).

Terdahulu, beberapa media arus perdana turut melaporkan polis sudah menahan Haziq di KLIA antara pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang tadi.

Bagaimanapun, tiada pengesahakan dibuat oleh polis mengenai penahanan tersebut.

Haziq, 27 sebelum ini tampil membuat pengakuan melalui akaun Facebook miliknya bahawa dia adalah individu yang terlibat dalam video seks luar tabii yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR.

Mohamed Azmin bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut dan mengancam akan mengambil tindakan undang-undang.

Haziq merupakan Ketua Pemuda PKR Santubong yang juga Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed dipetik Malaysiakini sebagai berkata, polis membuka empat kertas siasatan terhadap Haziq.

Huzir bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas Haziq atau tidak.

Dua daripada kertas siasatan itu membabitkan tuduhan melakukan persetubuhan luar tabie di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan mengedarkan bahan lucah di bawah Seksyen 292 kanun yang sama.

Haziq juga disiasat di bawah Seskyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Huzir berkata Haziq berada di terminal pelepasan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika ditahan.

Berdasarkan tiket penerbangan, suspek dijadualkan berlepas ke Manila, Filipina.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments