Pipi melecur, mulut berbuih, budak 2 tahun mati kepanasan dalam kereta

Di dalam kereta inilah kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sembilan bulan ditemui meninggal dunia.

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun maut selepas lebih 2 jam ditinggalkan kepanasan dalam kereta ibunya di tepi jalan rumahnya di Taman Aman 1, Lahad Datu, Rabu lalu.

Kanak-kanak malang yang juga anak bongsu daripada 4 beradik itu dijumpai ibunya yang berusia 31 tahun dalam keadaan terbaring di tempat duduk belakang kereta, selain mulutnya berbuih dan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Nasri Mansor berkata mangsa yang kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu disahkan meninggal dunia pada 4.39 petang.

“Terdapat kesan melecur di bahagian kiri muka serta lengan mangsa.

“Punca kematian disebabkan ‘heat related death’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, ibu mangsa yang juga seorang suri rumah ditahan polis bagi membantu siasatan.

Nasri berkata, suspek membawa mangsa untuk mengambil 2 anaknya berusia 9 dan 10 tahun yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Lahad Datu 2 pada 1 tengah hari, sebelum pulang ke rumah.

Setibanya di rumah, suspek meletakkan Perodua Bezza di tepi jalan rumah dan memesan anak sulungnya membawa mangsa keluar dari kereta dan masuk ke rumah.

“Ketika itu, suspek mahu menunaikan solat di tingkat 2 rumahnya dan selepas itu tertidur.

“Bagaimanapun, pada 3.45 petang ketika suspek dan suaminya mahu makan, beliau memanggil mangsa untuk makan bersama, tetapi tiada jawapan dan kehilangan mangsa itu dicari sehingga ke rumah jiran, tetapi tidak berjaya.

Nasri berkata, suspek kemudian mencari mangsa di keretanya dan menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Susulan tangkapan suspek itu, katanya, polis turut merampas Perodua Bezza berwarna biru dan kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments