‘Itu bukan anak saya, harap ia klip palsu’ – Bapa Haziq

BAPA Muhammad Haziq Abdul Aziz, yang menjadi tumpuan ramai minggu ini susulan pengakuan gempar beliau terbabit dalam hubungan seks sejenis, berkata beliau tidak percaya itu anaknya dalam klip berkenaan yang menjadi viral di media sosial.

Abdul Aziz Ibrahim dipetik akhbar theSun sebagai berkata, beliau ada melihat video pengakuan dan lucah itu berkali-kali dan berasakan lelaki berkenaan bukan anaknya.

“Individu itu nampaknya tidak jujur dan saya tidak rasa itu adalah anak saya.”

Katanya, beliau turut meneliti klip pengakuan itu dengan “melihat postur, pergerakan serta nadanya, dan berharap ia adalah palsu”.

Haziq yang merupakan setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin, berkata video itu yang didakwanya dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, ketika pilihan raya kecil kerus Parlimen itu baru-baru ini.

Beliau turut menamakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali sebagai pasangannya dalam video lucah itu, tetapi timbalan presiden PKR itu menafikan dakwaan itu dan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang.

Semalam, Kementerian Industri Utama mengumumkan Haziq digantung tugas serta-merta.

Aziz memberitahu theSun, beliau tidak dapat menghubungi anaknya setakat semalam.

Beliau turut menyifatkan Haziq sebagai “lelaki sangat baik” dan percaya anaknya bukan gay.

Sementara itu, Abdul Aziz mendakwa, pihak polis menceroboh rumahnya di Kuching, Sarawak.

Menurut Abdul Aziz Ibrahim, 53, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5 petang semalam ketika di berada di dalam rumah bersama anak perempuannya.

“Kira-kira lima anggota polis, salah seorang memakai ves hijau dan empat yang lain memakai pakaian biasa, menceroboh ke kawasan rumah saya.

“Mungkin mereka berjaya mengakses sistem penggera dan loceng pintu rumah saya tidak berfungsi,” katanya seperti dipetik The Sun.

Abdul Aziz berkata, kumpulan individu itu tiba menaiki kereta peronda polis.

“Mereka tidak menunjukkan sebarang pengenalan diri yang menunjukkan mereka polis tapi saya anggap mereka polis kerana kereta yang mereka naiki dan salah seorang pegawai memakai ves polis. Bagaimanapun, mereka ada kata mereka dari ibu pejabat polis Bukit Aman.

“Mereka tak apa-apakan saya atau anak perempuan saya. Mereka hanya mahu tanya saya tentang anak saya. Cuma mereka agak tegas dan cara mereka datang rumah buat saya rasa gemuruh,” katanya.

Abdul Aziz, yang membuat laporan berhubung kejadian itu di balai polis daerah Kuching berkata dia disoal tentang lokasi anaknya dan latar belakang keluarganya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments