Waspada ‘kaki skodeng’ merakam di tandas stesen minyak

ORANG ramai khususnya golongan wanita diminta berhati-hati ketika berada di tandas stesen minyak berikutan kegiatan tidak senonoh lelaki mengintai wanita yang membuang air di premis berkenaan.

Dalam kejadian terbaru di tandas sebuah stesen minyak di Batu Tiga Shah Alam kelmarin, seorang wanita menjadi mangsa skodeng seorang lelaki ketika mangsa berada dalam tandas.

Dalam kejadian 11.15 malam itu, mangsa menjerit dan menyembur air ke arah suspek selepas menyedari lelaki terbabit cuba merakam menggunakan telefon bimbit ketika dia membuang air kecil.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengekori wanita itu memasuki tandas berkenaan.

“Suspek yang bersendirian dan memegang telefon bimbit dikatakan cuba merakam mangsa yang sedang membuang air.

“Menyedari perkara itu, mangsa menjerit lalu menyemburkan air kepada suspek yang kemudian melarikan diri,” katanya kepada media di pejabatnya, hari ini.

Beliau berkata, polis menjalankan siasatan lanjut termasuk pemerhatian menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak berkenaan.

“Selain itu, kita akan mengenal pasti identiti suspek terbabit untuk membantu siasatan,” katanya.

Baharudin berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments