Setpol Azmin mengaku jumpa Haziq di Marriot Putrajaya

SETIAUSAHA politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Hilman Idham mengakui bahawa beliau ada berjumpa dengan Haziq Aziz sebelum Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu membuat pengakuan bersumpah terlibat dengan aksi intim bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ditanya pemberita mengenai dakwaan Haziq bahawa dia ada berjumpa beliau di sebuah restoran Marriot Putrajaya sebelum video pengakuan bersumpah dikeluarkan semalam, Hilman menjawab: “Betul.”

Hilman bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai dakwaan Haziq bahawa beliau memintanya untuk menafikan bahawa Azmin terbabit dalam video tersebut.

“Tak apa lah, saya dah serahkan semua kepada pihak polis. Kita biar polis siasat,” katanya.

Hilman yang juga Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) diminta mengulas dakwaan Haziq di Facebook hari ini yang mendakwa Mohamed Azmin mengarahkan mereka berjumpa di sebuah restoran di Putrajaya.

“Dia paksa saya untuk menafikan bahawa diri saya dalam video yang tular itu dan meminta saya berbohong untuk dirinya.

“Saya mohon lebih masa untuk merujuk kepada ibu bapa saya dan ini menimbulkan kemarahannya.

“Selepas saya menolaknya, dia membuat ugutan dan berkata ‘ini’ akan berakhir dalam 48 jam dengan atau tanpa bantuan saya untuk berbohong,” kata Haziq dalam satu lagi pendedahan di Facebook hari ini.

Dalam pendedahan itu, Haziq mendakwa, aksi di hotel Four Points Sandakan itu bukan kali pertama berlaku antara dirinya dengan Mohamed Azmin.

Hilman sebelum itu membuat laporan qazaf berkaitan isu penyebaran video lucah itu di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Putrajaya dan juga laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

Katanya, PKR akan memberi kerjasama sewajarnya kepada polis dan JAWI atas segala siasatan yang dilakukan.

“Insya-Allah saya yakin dan tegaskan pendirian saya bahawa keyakinan kami, ia tuduhan palsu dan fitnah jahat diadakan untuk menjejas reputasi dan keperibadian Azmin.

“Saya tegaskan lagi bahawa fitnah ini merupakan suatu konspirasi jahat untuk menyekat kemaraan Azmin dalam politik,” katanya.

Azmin, semalam menafikan bahawa dirinya terbabit dalam video lucah yang sedang beredar di media sosial dan menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk menamatkan kerjaya politiknya.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga menolak video berkenaan sebagai palsu, dan mendakwa bahawa mereka di sebaliknya mempunyai motif politik.

Semalam, Haziq yang mendakwa terlibat sama dalam video terbabit tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi atas ranjang bersama Azmin yang juga timbalan presiden PKR.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments