‘Saya adalah individu bersama dalam video itu’ – Haziq Aziz

SEORANG lelaki memperkenalkan diri sebagai Haziq Aziz memuatnaik satu hantaran video di Facebook dengan membuat pengakuan bahawa dia adalah individu bersama lelaki mirip seorang menteri kabinet dalam video intim yang tersebar sejak semalam.

Lelaki tersebut memuatnaik video berdurasi 35 saat itu pada pukul 2.31 pagi tadi di laman Facebook Haziq Aziz dengan kapsyen ‘To my fellow Malaysians

Dalam video tersebut, lelaki berkenaan memberitahu, rakaman itu diambil tanpa kebenarannya pada 11 Mei 2019 di Hotel Four Points, ketika berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.

Kempen dan hari pembuangan undi pilihan raya kecil itu berlangsung pada bulan Ramadan.

“Saya Haziq Aziz. Saya dengan ini membuat pengakuan bersumpah bahawa sayalah individu bersama Azmin Ali dalam video yang telah viral semalam. Video itu telah diambil tanpa kebenaran saya,” katanya dalam video berkenaan.

To my fellow Malaysians

Posted by Haziq Aziz on Selasa, 11 Jun 2019

 

Semakan New Malaysian Post mendapati, lelaki tersebut adalah Haziq Abdullah Abdul Azis yang merupakan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Shamsul Iskandar merupakan Ketua Penerangan PKR yang juga Ketua Cabang PKR Jasin.

[MAKLUMAN]Encik Haziq Abdul Aziz telah dilantik sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama berkuatkuasa hari ini 15 Januari 2019.Sekian, harap maklum

Posted by Shamsul Iskandar Mohd Akin on Selasa, 15 Januari 2019

Beberapa keping gambar dan video ‘intim’ mirip seorang menteri kanan tersebar sejak semalam.

Klip video itu memaparkan dua lelaki berada di katil dalam keadaan tidak berpakaian, melakukan beberapa aksi seksual dengan salah seorang daripadanya kelihatan seperti menyerupai menteri kabinet berkenaan.

BACA juga: Video intim mirip menteri kabinet tersebar

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ditanya pemberita dalam sidang akhbarnya semalam berkata tidak tahu mengenai perkara tersebut.

Blok parti pembangkang, UMNO dan PAS pula mengutuk penyebaran gambar dan video terbabit sambil menyifatkannya sebagai politik kotor dan tidak bertanggungjawab.

ANTARA sedutan dalam video intim yang turut melibatkan seorang lelaki mirip seorang menteri kabinet yang tersebar di laman sosial termasuk melalui aplikasi Whatsapp sejak semalam.

Penyebaran video itu berlaku di tengah-tengah spekulasi wujudnya pergolakan dalaman antara dua kem dalam PKR, khususnya percanggahan pandangan membabitkan pelantikan bekas pemimpin dalam parti itu, Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru.

Wujud kecenderungan untuk melihat perbezaan itu sebagai perpecahan antara kem Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beberapa pemimpin PKR seperti Nik Nazmi Ahmad dan Tan Yee Kew yang diketahui akrab dengan Anwar menentang pelantikan tersebut, lebih-lebih lagi wujud tanggapan bahawa Latheefa dikenali sebagai peguam yang sering mengkritik Anwar.

Pendekatan kritikal Latheefa terhadap Anwar membuatkan dia dilihat sebagai berada dalam kem Mohamed Azmin sebelum ini.

Latheefa bagaimanapun meletakkan semua jawatan dalam PKR selepas dilantik menerajui SPRM.

Sementara itu, Haziq dalam klip video berkenaan turut mendesak supaya SPRM menyiasat kaitan menteri berkenaan dengan kegiatan korupsi.

“Saya menggesa SRPM untuk menyiasat Azmin dengan tuduhan korupsi. Beliau bukanlah seorang yang layak menjadi seorang pemimpin,” katanya dalam klip video berkenaan. – NMP

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments