Kes Adib: Peguam dedah ‘kronologi pelik’, niat jahat sembunyi kebenaran

PEGUAM Syazlin Mansor hari ini membuat pendedahan mengejutkan mengenai wujud niat jahat pihak tertentu mengacau ganggu prosiding inkues bagi mengenal pasti punca sebenar kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Dalam satu sidang akhbar hari ini, Syazlin menghuraikan kronologi yang dianggapnya pelik termasuk campur tangan pejabat Peguam Negara yang memberi alasan demi alasan menghalang beliau mewakili keluarga Adib dalam inkues berkenaan.

Pada permulaan sidang akhbar itu, Syazlin menarik perhatian bagaimana kes itu pada mulanya diklasifikasikan sebagai kes bunuh, namun tiada perbicaraan dijalankan, sebaliknya Peguam Negara, Tommy Thomas mengarahkan diadakan prosiding inkues.

Kronologi perjalanan inkues itu kata Syazlin juga pelik apabila beliau diarahkan menarik diri selepas mula menyoal teori pakar patologi Hospital Kuala Lumpur dan membawa Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid untuk memberi keterangan.

Untuk rekod, keterangan Prof Dr Shahrom bertentangan dengan keterangan pakar patologi Hospital Kuala Lumpur berhubung cara Muhammad Adib meninggal dunia.

“Saya merasakan adalah pelik kerana apabila saya mula menyoal teori pakar pakar patologi Hospital Kuala Lumpur dan membawa Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid untuk memberi keterangan, barulah isu konflik pelantikan saya dibangkitkan.

“Walhal menjadi kewajipan dan tanggungjawab saya mewakili pihak berkepentingan untuk berbuat demikian dengan niat mendapatkan kebenaran atau membuat dapatan apakah yang paling mungkin boleh berlaku kepada arwah Adib yang membawa kepada kematiannya,” katanya.

Sidang media khas itu turut disertai Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia termasuk Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Muhammad Adib, 24, cedera parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.

Prosiding inkues itu berlangsung di hadapan Koroner Rofiah Mohamad memasuki hari ke-36 dan 29 saksi telah dipanggil memberi keterangan.

Dalam prosiding sebelum ini, keterangan saksi pakar Dr Shahrom adalah bahawa kecederaan Muhammad Adib berpunca daripada beliau ditarik dari van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan diserang.

Keterangan itu bercanggah dengan keterangan saksi pakar yang dikemukakan oleh timbalan pendakwa raya, iaitu Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Dr Mohd Shah Mahmood yang berkata kecederaan Muhammad Adib bukan berpunca daripada beliau ditarik dari van EMRS dan diserang.

Syazlin Mansor melahirkan rasa hairan mengapa Tommy mempersoalkan ‘tugasnya’ dalam inkues siasatan punca kematian Muhammad Adib selepas beberapa bulan prosiding itu sudah dijalankan.

Beliau berkata alasan yang dikemukakan oleh Tommy Thomas bahawa beliau tidak membantu siasatan inkues apabila sering bercanggah dengan pendakwa (pegawai pengendali inkues) juga tidak boleh diterima.

Syazlin yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamatan serta keluarga Adib secara pro bono (tanpa bayaran) berkata, selepas akur kepada arahan menarik diri daripada inkues beliau telah bertanya kepada Pegawai Pengendali Inkues, Faten Hadni yang juga Timbalan Pendakwa Raya kes tersebut.

Malah, Syazlin mendedahkan bahawa beliau ada bertanya sendiri kepada Faten berhubung perkara tersebut dan terkejut dengan respon yang diterimanya.

“Pada 27 Mei iaitu tarikh saya menarik diri, saya ada bertanya kepada Faten. Mengapa baru sekarang peguam negara mempersoalkan pelantikan saya. Bukankah dari awal lagi peguam negara maklum saya mewakili mereka.

“Beliau berkata memang benar Peguam Negara maklum tentang peranan saya dari awal , tetapi beliau tidak membuat sebarang bantahan kerana berpendapat saya akan bantu inkues dan bertindak secara bona fide (niat baik).

“Saya kemudian mempersoalkan bila masa pula peguam negara berpendapat saya tidak membantu inkues dan bertindak secara mala fide (berniat jahat)?

“Beliau menjawab, apabila saya bercanggah dengan kedudukan yang diambil pegawai pengendali inkues dan mempersoalkan teori pakar HKL,” katanya.

Tambahnya cubaan Tommy mengaitkan kedudukan suaminya Ahmad Soffian Mohd Shariff yang juga Setiausaha Akhbar Menteri KPKT adalah berniat jahat.

“Adakah salah bagi saya seorang peguam yang ingin membantu keluarga mangsa secara pro bono? Saya percaya ia tindakan jahat untuk memburukkan nama kami,” katanya.

 

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments